AARON mengarah filem buat kali kedua.
AARON mengarah filem buat kali kedua.
Syanty Octavia Amry


Kegagalan filem Romeo Kota-Fail Kriptik arahan Aaron Aziz tidak sedikit pun mematahkan semangatnya untuk kembali mengarah.

Sebaliknya, pelakon filem Ombak Rindu itu bakal duduk di kerusi pengarah untuk mengarahkan filem Sayu Yang Syukur (SYS) terbitan Nusan Bakti Corporation Sdn Bhd.

Terpanggil menerima tawaran mengarah filem kisah cinta tragis itu, Aaron berkata, tiada sebab untuknya menolak. Kegagalan lalu harus dijadikan pengalaman dan semangat untuknya terus menggilap bakat sebagai pengarah.

“Saya tidak boleh menganggap kegagalan mengarah pertama kali sebagai alasan untuk tidak mengarah lagi.

“Sebagai seorang pengarah tidak semua orang suka filem yang kita hasilkan. Meskipun ada rasa kecewa saya tidak boleh mengalah dan membiarkan rasa kecewa itu menguasai diri.

“Saya juga sudah agak lama dalam bidang seni lakonan, dengan pengalaman yang ada saya harus menggunakan peluang yang diberikan.

“Tidak semestinya saya gagal sekali saya perlu berhenti, saya harus mencuba dan terus mencuba lagi,” katanya.

Sayu Yang Syukur bakal memulakan penggambarannya pada 20 Mei ini dan dibintangi Nora Danish, Arja Lee, Datuk Yusof Haslam, Fauziah Latiff dan Amyra Rosli.

Menariknya, untuk filem ini Aaron turut diberi peluang mencurahkan segala idea bermula daripada skrip, praproduksi dan sehinggalah ke penggambaran.

Berkongsi perkembangan terbarunya, selain drama bersiri online Dan Calonnya Adalah 2 gandingan bersama Zara Zya, Aaron turut ke Auckland, New Zealand bagi menghabiskan penggambaran filem Kau Yang Satu gandingan bersama Izara Aishah.

“Ini adalah filem online pertama saya. Satu pengalaman baru buat saya. Meskipun saya akui kurang puas berikutan drama ini hanya lima minit saya belajar perkara baru dalam lakonan.

“Saya yakin penonton tidak akan berpuas hati kerana belum selesai ketawa terpaksa simpan dulu untuk dibawa ke episod seterusnya.

“Istimewanya buat penonton setia Tonton mereka boleh menyaksikan drama ini serentak 20 episod pada 18 Mei ini,” katanya.

Dalam pada itu, Aaron berkata, dia turut sibuk dengan beberapa projek membabitkan kerjasama dengan negara luar.

“InsyaAllah jika tiada halangan saya akan bekerjasama dengan produksi dari Hong Kong. Sudah lama saya mengimpikan untuk menempa nama di luar negara diharap semua­nya berjalan lancar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Mei 2015 @ 5:07 AM