Nora Danish (kanan) dan Fasha Sandha.
Nora Danish (kanan) dan Fasha Sandha.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon, Nora Danish, 41, mengakui hubungannya dengan pelakon, Fasha Sandha, 39, sudah lama baik dan tiada apa perlu dijadikan isu lagi kerana ia sudah lama berlalu.

Nora berkata, mereka juga tiada masalah untuk saling bertegur dan mesra sekiranya berjumpa di mana-mana, termasuk jika bertemu dalam acara hiburan yang dihadiri.

"Sebenarnya, hubungan saya dengan dia (Fasha) memang dah lama okay. Tapi, bila berjumpa, berjumpalah. Tak adalah 'plan' sampai nak berjumpa, tapi kalau terjumpa, terserempak, okay Alhamdulillah.

"Tak ada apa dah (nak diingat lagi), benda pun dah lama dah," katanya.

Terdahulu, isu perselisihan faham membabitkan peribadi antara Nora dan Fasha berlaku pada 2017 sehingga tindakan undang-undang diambil, namun mereka akhirnya sepakat menyelesaikannya di luar mahkamah pada 2018.

Bagaimanapun, ketika sambutan Aidilfitri tahun ini, kedua-duanya bergambar bersama ketika berkunjung dan berkumpul di kediaman bekas keluarga mentua mereka, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Puan Sri Raja Noora Ashikin Raja Abdullah, pada April lalu yang menjadi perhatian ramai.

Mengulas mengenai filem lakonannya, Sayu Yang Syukur arahan Datuk Aaron Aziz yang dihasilkan pada 2015 dan selepas lapan tahun baru akan ditayang di pawagam pada 28 Disember depan, Nora berkata, dia masih teruja menantikan filem itu walaupun ia sudah dihasilkan kira-kira lapan tahun lalu dan pastinya banyak perubahan sudah berlaku.

"Ini adalah produk filem saya yang pertama berlakon dengan Aaron dan dia (Aaron) juga menjadi pengarah untuk filem ini. Saya harap penonton dapat menerima dengan baik kerana perlu mengambil kira keadaan lapan tahun lalu.

"Saya tahu pengaruh netizen dan media sosial sekarang ini, termasuk bimbang juga dengan kualitinya, tapi semoga penonton fahamlah sebab filem Sayu Yang Syukur ini sudah disiapkan agak lama," katanya.

Nora yang kini memperlahankan karier lakonannya dengan menerima tawaran filem dan telefilem berkata, dia bertindak demikian kerana mahu memberi tumpuan utama terhadap keluarganya.

Selain Nora dan Aaron, filem ini turut dibintangi Mohd Khafairie, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Raja Emma dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 12:47 PM