Datuk Aaron Aziz
Datuk Aaron Aziz
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur : Pelakon Datuk Aaron Aziz, 47, sudah berjaya menurunkan berat badan kira-kira 11 kilogram (kg) atas nasihat doktor sebagai ikhtiar merawat masalah kesihatan, 'slipped disc' yang dihidapinya sejak beberapa tahun lalu.

Aaron atau nama sebenarnya, Aaron Mustapha Aziz berkata, usaha menurunkan berat badan yang dilakukan itu berhasil, sekali gus membantunya kembali sihat, selain aktif bersenam juga.

"Setakat ini, ternyata saranan doktor agar saya turunkan berat badan dan bersenam sebagaimana dilalukan sangat membantu dalam ikhtiar merawat masalah 'slipped disc' dihadapi ini tanpa perlu melakukan pembedahan berisiko.

"Alhamdulillah, dengan berkurangnya berat badan saya sekarang amat membantu, sebab sebelum ini nak naik tangga di rumah pun susah. Jadi, apa yang  disarankan oleh doktor itu adalah kaedah yang baik untuk saya.

"Doktor nasihatkan saya agar berusaha kurangkan berat badan dan aktif bersenam. Syukur sangat  kerana kini berat badan saya sudah berjaya diturunkan sebanyak 11 kg," katanya hadir pada sesi fotografi filem Sayu Yang Syukur di Bangsar.

Terdahulu, difahamkan Aaron mengalami masalah 'slipped disc' itu sejak beberapa tahun lalu selepas dia melakukan babak aksi dalam penggambaran sebuah filem yang menyebabkannya menghadapi kecederaan.

"Biasalah bila buat kerja 'stunt' ketika berlakon, leher dan pinggang yang kalau cedera pasti akan beri kesan pada saraf saya. Doktor ada saran untuk cungkil saraf yang tersepit itu, tapi ia berisiko karana saya tidak boleh bekerja dan kena berehat di rumah.

"Saya tak mahu macam itu (berehat lama tanpa kerja). Begitu juga, doktor ada minta saya buat terapi, tapi malas pula keluar masuk hospital. Jadi, saya banyak ikhtiar sendiri dan aktif bersenam untuk kuatkan belakang saya. 

"Alhamdulillah, sekarang semua baik-baik saja dan saya apabila melakukan babak aksi sendiri pun tiada masalah terlalu sakit. Keadaan kesihatan saya kini dalam proses pemulihan yang membaik," katanya.

Mengulas filem Sayu Yang Syukur itu, Aaron gembira turut diberi kepercayaan dan tanggungjawab sebagai pengarah, selain menjadi pelakon utama bersama Nora Danish dan Arja Lee.

"Saya mendapat peluang jadi pengarah filem ini selepas ditawarkan oleh Penerbit Eksekutif

Nusanbakti Corporation Sdn Bhd iaitu Allahyarham Datuk Gulzar Mohamad Noor Mohamed atau lebih dikenali sebagai Mohd Atlas pada 2015.

"Mulanya, saya dapat tawaran berlakon saja daripada produksi, namun arwah penerbit akhirnya beri kepercayaan untuk saya arahkan filem ini.  Jadi, apabila dah ada rezeki mengarah, saya terima sebab yakin boleh buat," katanya.

Filem Sayu Yang Syukur akan menemui penonton di pawagam pada  28 Disember depan yang membariskan pelakon lain seperti

 Mohd Khafairie, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Raja Emma dan ramai lagi.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 November 2023 @ 11:51 AM