Nora (kanan) bersama dua anaknya, Putra Rayqal dan Nene serta ibunya, Salimah Talib. Foto Instagram Nora Danish
Nora (kanan) bersama dua anaknya, Putra Rayqal dan Nene serta ibunya, Salimah Talib. Foto Instagram Nora Danish
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur : Pelakon Nora Danish, 41, mendedahkan anak sulungnya, Putra Rayqal Ramli, 16, tidak menunjukkan minat terhadap karier seni, berbanding anak kedua, Mohamed Neqayl atau Nene, 5, yang mungkin mengikut jejak langkahnya.

Nora berkata, dia bagaimanapun tidak akan menghalang anak-anaknya terbabit dalam karier seni pada masa depan sekiranya itu memang minat mereka dan sedia memberikan sokongan.

"Rayqal setakat ini memang tak ada langsung tunjuk minat pada bidang seni, tapi adiknya, Nene yang kini berusia lima tahun, semacam obses dengan diri dia sendiri.

"Kalau saya ambil gambar dengan peminat, dia (Nene) mesti nak 'join' juga. Kalau saya buat video untuk kempen produk pun, dia nak ikut serta. Macam Rayqal, memang tak ada tunjuk minat sejak dari kecil.

"Setakat ini, pernahlah sekali saya buat iklan dengan anak (Nene), tapi bergantung pada yang bersesuaian. Tapi, berlakon belum lagi sebab nanti yang penat adalah saya sebagai emak dia sebab bawa anak ke lokasi," katanya.

Pemilik nama sebenar, Nora Mohd Danish Hanif ini berkata, dia okay saja untuk bekerja dengan anaknya untuk penggambaran iklan komersial kerana tidak memerlukan masa lama dan berhari-hari di lokasi.

"Apapun, saya memang tidak akan melarang pembabitan anak dalam karier seni sebab fikir kalau ini yang dia minat pada masa depan dan turut didapati memberi manfaat kepada dirinya, boleh saja.

"Saya akan memberikan sokongan dan galakan sewajarnya kepada anak. Apapun, paling utama ada pendidikan dan itu yang lebih difokuskan," katanya.

Terdahulu, Nora pernah mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan, Datuk Rizal Ashram Ramli pada 2006 dan sah bercerai pada 2008 dan dikurniakan, Putra Rayqal Ramli.

Pada 2017, Nora bertemu jodoh kali kedua dengan lelaki pilihan, ​Nedim Nazri yang juga anak ahli politik, Datuk Seri Nazri Aziz dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Mohamed Neqayl.

Baru-baru ini, Nora ditemui media pada sesi fotografi untuk promosi filem Sayu Yang Syukur yang akan menemui penonton di pawagam mulai 28 Disember depan arahan Datuk Aaron Aziz di sebuah residensi di Bangsar.

Mengulas juga karier lakonannya, Nora berkata, dia kini lebih selesa memilih tawaran berlakon filem dan telefilem berbanding drama bersiri kerana enggan terikat lama dengan jadual penggambaran di lokasi demi keluarga.

"Tawaran berlakon drama masih ada saya terima, tapi terpaksa ditolak kerana keutamaan sekarang masa bersama keluarga. Anak-anak dalam proses membesar dan mereka perlukan perhatian penuh daripada ibu bapa," katanya.

Filem Sayu Yang Syukur menggandingkan Nora bersama pelakon lain seperti Aaron, Arja Lee, Mohd Khafairie, Datuk Ahmad Tamimi Siregar, Raja Emma dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 1:35 PM