Konsert Coldplay yang akan berlangsung di SNBJ. Foto Aizuddin Saad
Konsert Coldplay yang akan berlangsung di SNBJ. Foto Aizuddin Saad

Kuala Lumpur: Bagi memudahkan urusan penonton beragama Islam menunaikan solat fardu ketika menghadiri konsert Coldplay yang berlangsung esok di Stadium Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengambil langkah proaktif dengan menyediakan ruang solat tambahan.

Langkah itu dikongsikan Pengerusi PSM yang juga selebriti terkenal, Hans Isaac atau nama sebenarnya, Gerald Hans Isaac di laman media sosial Instagram hari ini.

"Untuk konsert Coldplay esok terdapat ruang tambahan di Axiata Arena (bersebelahan stadium)," tulisnya ringkas di Instagram Story.

Menerusi perkongsian itu, Hans berkongsi foto ruangan khas yang sedang dibersihkan beberapa kakitangan bagi memberi kemudahan sekali gus menampung kapasiti umat Islam yang akan mendirikan solat.

Selain itu, Hans turut berkongsi tandas mudah alih tambahan yang disediakan untuk kegunaan penonton di konsert berkenaan.

"Tandas mudah alih tambahan disediakan untuk konsert Coldplay.

"Pasukan kami akan memenuhi setiap ruang dan kawasan bagi memberi pengalaman lebih mudah untuk tetamu kami," tulisnya dalam hantaran berbeza.

Dalam pada itu, Hans turut berkongsi mengenai pengumuman lanjutan operasi perkhidmatan stesen transit aliran ringan (LRT) Bukit Jalil.

Bagi memenuhi keperluan operasi dan acara di SNBJ itu, Rapid KL melanjutkan operasi LRT Bukit Jalil sehingga jam 1 pagi.

Kumpulan muzik ternama dari United Kingdom itu dijadual mengadakan konsert di SNBJ sempena siri Music of the Spheres World Tour.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2023 @ 5:04 PM