STATUS yang dimuatnaik Tunku Ismail di laman Instagramnya.
STATUS yang dimuatnaik Tunku Ismail di laman Instagramnya.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) ketika ini terus menimbulkan persoalan sama ada boleh digunakan untuk pentas final Piala Malaysia 2023 atau sebaliknya.

Hal ini kerana pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi keadaan terkini padang SNBJ di laman Instagram khusus ditujukan kepada Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Datuk Hans Isaac.

Perkara itu timbul memandangkan sepak mula final Piala Malaysia 2023 membabitkan Terengganu FC menentang JDT hanya berbaki empat hari saja lagi namun keadaan padang boleh dikatakan agak 'menyedihkan' ketika ini.

"Standard yang bagus untuk final Piala Malaysia. Nampaknya formula anda menjadi," tulis TMJ kepada Hans Isaac.

Tulisan itu dilihat oleh penyokong bola sepak tempatan lebih kepada sindiran Tunku Ismail kerana padang dikatakan dalam keadaan 'separuh siap' terutama di bahagian tengah selepas dilanyak pada penganjuran konsert baru-baru ini.

Mengikut rekod, sebelum ini Arena Metro melaporkan padang SNBJ terus terluka angkara konsert Coldplay selepas Tunku Ismail memuat naik gambar keadaan rumput stadium terbabit di laman Instagram miliknya.

Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM Mohd Faidz Sanusi dilaporkan berkata pihaknya akan melakukan kerja membaik pulih pada kadar segera untuk digunakan bagi final Piala Malaysia.

Padang baharu Stadium Nasional yang menggunakan rumput baharu jenis Zeon Zoysia adalah tajaan daripada TMJ dengan ia digunakan secara rasmi pada Pestabola Merdeka 2023, Oktober lalu.

Sebelum ini, kualiti padang di SNBJ yang baru selesai dinaik taraf mendapat kritikan hebat daripada banyak pihak susulan rumput di gelanggang rasmi Harimau Malaya itu tercabut di beberapa bahagian padang ketika aksi sulung Pestabola Merdeka 2023, September lalu.

Namun, keadaan padang kembali ke tahap memuaskan pada perlawanan pertama kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang menyaksikan Malaysia berjaya menumbangkan Krygyzstan 4-3.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2023 @ 3:36 PM