KEADAAN padang SNBJ yang rosak menjelang final Piala Malaysia. FOTO Twitter HRH Crown Prince of Johor
KEADAAN padang SNBJ yang rosak menjelang final Piala Malaysia. FOTO Twitter HRH Crown Prince of Johor
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) akan melakukan pemeriksaan terlebih dahulu terhadap padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) sebelum mengambil keputusan untuk menukar venue atau mengekalkannya.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Stuart Ramalingam memaklumkan bahawa pihaknya tidak mahu mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan penukaran venue tanpa melakukan pemeriksaan terhadap padang itu.

"Kita akan mengadakan pemeriksaan terlebih dahulu terhadap padang SNBJ dan akan memaklumkan tindakan lanjut kemudian," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan keadaan padang di SNBJ menimbulkan persoalan sama ada boleh digunakan untuk pentas final Piala Malaysia 2023 atau sebaliknya.

Hal ini kerana pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkongsi keadaan terkini padang SNBJ di laman Instagram khusus ditujukan kepada Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Datuk Hans Isaac.

Perkara itu timbul memandangkan sepak mula final Piala Malaysia 2023 membabitkan Terengganu FC menentang JDT hanya berbaki empat hari saja lagi namun keadaan padang boleh dikatakan agak 'menyedihkan' ketika ini.

Mengikut rekod, padang SNBJ dilaporkan 'terluka' angkara konsert Coldplay selepas Tunku Ismail memuat naik gambar keadaan rumput stadium terbabit di laman Instagram miliknya.

Berikutan itu, Ketua Pegawai Eksekutif PSM Mohd Faidz Sanusi dilaporkan berkata pihaknya akan melakukan kerja membaik pulih pada kadar segera untuk digunakan bagi final Piala Malaysia.

Padang baharu Stadium Nasional yang menggunakan rumput baharu jenis Zeon Zoysia adalah tajaan daripada TMJ dengan ia digunakan secara rasmi pada Pestabola Merdeka 2023, Oktober lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 5:32 PM