KEADAAN padang SNBJ menjelang final Piala Malaysia malam ini. FOTO Asyraf Hamzah
KEADAAN padang SNBJ menjelang final Piala Malaysia malam ini. FOTO Asyraf Hamzah
Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Tinggal beberapa jam sebelum sepak mula final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) menentang Terengganu FC (TFC), namun rata-rata peminat bola sepak tempatan terus meluahkan kekecewaan mereka di media sosial berikutan kegagalan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memulihkan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) seperti dijanjikan sebelum ini.

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar terkini keadaan padang SNBJ sehingga menimbulkan perdebatan dalam kalangan peminat di media sosial yang melihat PSM gagal menyiapkan padang dalam tempoh sepatutnya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM, Datuk Hans Isaac memuat naik gambar yang dikatakan mereka akan bekerja menyediakan padang bagi aksi final Piala Malaysia.

Namun, semua itu hanya harapan palsu apabila keadaan padang rosak teruk akibat penganjuran konsert Coldplay yang berlangsung pada 22 November yang lalu.

Malah, tinjauan Arena Metro di sosial media mendapati banyak kecaman akibat rasa ketidakpuasan hati peminat bola sepak tempatan berkenaan isu itu.

"Stadium dibina untuk acara berkaitan sukan...kalu nok jugok buat konsert buatlah khas utknya..boleh buat konsert tiap-tiap hari." kata Wan Zuhairi Wan Ibrahim manakala sorang lagi menambah:

"Memalukan kat org negara luar yang tengok live final padang macam sawah padi. Baik guna stadium lain manakala T Syaifullah T Hassan berkata: "Kalau cedera...saman je stadium tu....biar dia rasa.

Semalam, Tunku Ismail hadir melakukan 'sport check' mengejut untuk melihat keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), ketika anak buah Esteban Solari menjalani sesi latihan rasmi menjelang aksi final Piala Malaysia menentang TFC.

"Main boleh main. Tetapi 'quality game' akan 'low'. Yang membimbangkan adalah pemain utama pemain kebangsaan macam Corbin (Ong), Arif Aiman (Hanapi), Matthew Davies, Endrick Dos Santos, Shahrul Saad dan Afiq Fazail cedera.

"Risiko cedera buku lali, peha, lutut dan groin oleh kerana padang tak rata. Bulan depan Piala Asia di Qatar," kata Tunku Ismail di laman Instagram.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2023 @ 12:05 PM