DATUK Hans Isaac. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
DATUK Hans Isaac. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kedudukan Datuk Hans Isaac selaku Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) masih terjamin sekurang-kurangnya sehingga Jun 2025.

Biarpun ramai desakan menyarankan personaliti terkenal itu meletakkan jawatan ekoran kegagalan mengendalikan isu padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) namun Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menegaskan bahawa perlantikan Hans adalah berdasarkan kontrak dua tahun yang dipersetujui oleh ahli lembaga perbadanan.

"Saya percaya dalam PSM segala keputusan di buat bersama ahli jawatankuasa dan mereka juga membuat keputusan berhubung isu rumput selepas konsert Coldplay yang mana PSM mendapat khidmat nasihat pakar rumput dari Australia.

"Segala perancangan selepas konsert Ed Sheeran memang dipantau oleh pakar dan ia sudah mendapat kelulusan daripada komisioner perlawanan Fifa untuk perlawanan menentang Oman.

"Selepas perlawanan itu nanti kita akan nilai dan mendengar maklum balas dari pakar untuk pastikan terus ada penambahbaikan dilakukan," katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama pengamal media di sini semalam.

Isu padang SNBJ sebelum ini hangat diperdebatkan sebelum perlawanan menentang Oman bagi kempen Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 yang mana pasukan Oman tidak dibenarkan menjalani latihan secara rasmi di venue berkenaan susulan penggunaan padang untuk konsert.

Namun Hannah menegaskan bahawa beliau akan memastikan 'rumah' Harimau Malaya akan terjaga kerana negara tidak mempunyai dua stadium dan dalam masa yang sama memberi ruang untuk penganjuran konsert.

Ini kerana segala hasil konsert adalah hak milik PSM yang akan diguna pakai untuk menaik taraf stadium seperti saliran dan sebagainya.

Dalam perkembangan yang berlainan Hannah mengalu-alukan sesiapa yang berminat untuk mengisi jawatan selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PSM.

Ia susulan kekosongan yang ditinggalkan oleh CEO sebelum ini dipegang Mohd Faidz Sanusi yang sudah tamat tempoh perkhidmatan.

"CEO sebelum ini bukan letak jawatan tetapi kontraknya sudah tamat dan dia juga adalah penjawat awam. Tepi sekarang kita ada COO (Ketua Pegawai Operasi) yang baharu namun jawatan CEO masih kosong.

"Jawatan untuk CEO terbuka kepada semua, bagi yang berminat bolehlah menghantar resume," katanya.

COO adalah jawatan baharu yang diwujudkan bagi memastikan takbir urus PSM yang lebih mampan kini dijawat oleh Iliyas Jamil yang sudahpun memulakan tugas dua minggu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 12:02 PM