KEADAAN terkini padang Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO EMEL
KEADAAN terkini padang Stadium Nasional Bukit Jalil. FOTO EMEL
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Jika padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) kekal teruk sebelum dan selepas aksi antara skuad Harimau Malaya dan Oman berlangsung, Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Datuk Hans Isaac disarankan agar meletakkan jawatan.

Desakan itu diluahkan pemerhati bola sepak tempatan, Zack Rahim yang berpandangan Hans perlu mengambil tanggungjawab dengan meninggalkan PSM.

"Namun, jika pada hari 'game' keadaan padang adalah lebih buruk dari padang Stadium Raja Muda, saya rasa Pengerusi PSM, seluruh barisan B.O.D (Ahli Lembaga Pengarah) PSM dan CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) PSM bersedia untuk tinggalkan PSM sejurus lepas 'game' Selasa ini.

"Desakan ini bukan sebab tak boleh terima stadium digunakan untuk konsert. Tetapi ia jelas menunjukkkan kesemua mereka di atas adalah sangat inkompeten, tak berkemampuan untuk memikul tanggungjawab selaku pengurus aset KBS yang bernama stadium. Mereka gagal teruk," katanya.

Terdahulu, isu padang SNBJ terus hangat diperkatakan susulan tersebarnya video dan gambar permukaan padang yang 'rosak' ekoran penganjuran konsert Ed Sheeran pada 24 Februari lalu.

Malah isu sama turut berlaku pada November lalu apabila PSM membenarkan konsert Coldplay dianjurkan di atas padang SNBJ sekaligus permukaan padang rosak sedangkan ia adalah rumput baharu jenis Zeon Zoysia yang ditaja oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

"Tak kisah nak buat konsert ke, 'gigs' ke, 'funfair' ke sebab itu dapat tarik 'income' kepada stadium. Semua faham dan mengerti. Nak harap bola saja, mana cukup nak 'maintain' sebuah stadium termasuk stadium hoki, arena dan kompleks renang.

"Tapi bila gagal menguruskannya sepertimana dijanjikan secara umum, bermakna ia satu kegagalan. Segala janji dan harapan yang diberikan adalah palsu semata-mata.

"Gagal satu hal, menipu 'fans' bola sepak Malaysia, menipu FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan menipu rakyat Malaysia satu hal yang amat serius," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 2:24 PM