KEADAAN padang  SNBJ yang mengundang kritikan pelbagai pihak.
KEADAAN padang SNBJ yang mengundang kritikan pelbagai pihak.
Lydia Saiful


Kuala Lumpur: Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) Datuk Hans Isaac boleh dikatakan menjadi 'buruan' penyokong bola sepak tanah air ketika sehingga laman sosialnya diserang ribuan komen sejak semalam.

Hal ini terjadi disebabkan hantaran pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Instagramnya yang berkongsi keadaan terkini padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dengan kapsyen dituju kepada Hans Isaac.

Hans Isaac yang juga pelakon dan pengarah filem diserang ribuan komen dengan rata-rata menghentam beliau kononnya menjadi punca padang SNBJ rosak.

Malah, tinjauan Arena Metro di Instagram Hans Isaac mendapati ada antara penyokong bola sepak tempatan meminta beliau meletak jawatan seterusnya bertanggungjawab terhadap kerosakan itu.

"Ko ni sembang je lebih & up statement macam dah baiki padang tapi macam mana? Ko turun padang tak bro! Final Piala Malaysia dah dekat." kata ultrasmalaya.com.my di sosial media manakala seorang lagi menambah: 'padang woi jaga la leklok.'

Netizen lain, Rizall_rahim berkata: "padang pun tak pandai jaga, nak jaga negara lagi lah jauh". 4zizulumby_ menulis: "Buang jela tittle chairman stadium tu, macam xdo funtion pun jaga stadium.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan keadaan padang di SNBJ menimbulkan persoalan sama ada boleh digunakan untuk pentas final Piala Malaysia 2023 atau sebaliknya.

Hal ini kerana pemilik Tunku Ismail berkongsi keadaan terkini padang SNBJ di laman Instagram khusus ditujukan kepada Hans Isaac.

Perkara itu timbul memandangkan sepak mula final Piala Malaysia 2023 membabitkan Terengganu FC menentang JDT hanya berbaki empat hari saja lagi namun keadaan padang boleh dikatakan agak 'menyedihkan' ketika ini.

Mengikut rekod, padang SNBJ dilaporkan 'terluka' angkara konsert Coldplay selepas Tunku Ismail memuat naik gambar keadaan rumput stadium terbabit di laman Instagram miliknya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2023 @ 4:33 PM