AZNIL
AZNIL
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi, 61 dilantik Profesor Adjung di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya berkuat kuasa 9 Oktober lalu.

Universiti Malaya dalam kenyataannya berkata, Aznil dipilih atas kewibawaannya yang terpuji selain dia juga adalah alumni universiti itu.

"Aznil alumni Universiti Malaya tahun 1984, dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, berkuatkuasa 9 Oktober lalu. Anak jati Kuala Lumpur ini yang dikenali umum dalam bidang komunikasi penyiaran.

"Dia adalah graduan ljazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran (kini Fakulti Perniagaan dan Ekonomi), dan antara pendokong industri pengucapan awam negara," kata kenyataan itu.

Menerusi ketokohannya itu, Aznil terpilih untuk bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan melahirkan murid-murid sekolah berketrampilan kelas pertama, selaras dengan aspirasi program Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK 21).

"Dengan kepercayaan itu juga, Kementerian Ekonomi turut memilih Aznil sebagai Mentor Pengucapan Awam untuk sebuah program khusus pembangunan usahawan.

"Dengan pelantikan berprestij ini pastinya akan memperkasakan kemahiran pengucapan awam dalam kalangan warga kampus khususnya mahasiswa dari pelbagai cabang bidang pengkhususan," katanya.

Pihak universiti percaya sokongan Aznil yang tidak ternilai dapat membantu mencapai hasrat melahirkan graduan lebih berani, bijak berkomunikasi, berkarisma dan serba boleh dalam berdepan cabaran dunia masa hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 2:59 PM