AHMAD Zahid     bersama penerima Watikah Pelantikan kategori Industri ketika Majlis Apresiasi dan Penyampaian Watikah Pelantikan CEO@Fakulti  di Hotel Hilton.
AHMAD Zahid bersama penerima Watikah Pelantikan kategori Industri ketika Majlis Apresiasi dan Penyampaian Watikah Pelantikan CEO@Fakulti di Hotel Hilton.
myMetro

Kuala Lumpur: Kerajaan menyarankan program Ketua Pegawai Eksekutif Fakulti (CEO) atau CEO@Fakulti di Universiti Awam dan Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA) dimasukkan ke dalam Strategi Lautan Biru Kebangsaan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu sebagai pengiktirafan negara atas kejayaan kedua-dua program itu.

Beliau berkata, program khususnya CEO@Fakulti terbukti berkesan dalam melahirkan graduan yang seimbang merangkumi pendidikan dan juga sahsiah.

Beliau berkata, program CEO@Fakulti hasil cetusan idea Menteri Pendidikan Datuk Seri Idris Jusoh itu adalah program pertama seumpamanya di dunia dan selari dengan penanda aras ditetapkan kepada universiti awam (UA) iaitu bukan hanya ‘jaguh kampung’, malah setanding di peringkat global.

“Malah, pihak luar turut menyatakan minat untuk mencontohi program ini. Ia bukan saja peluang terbaik kepada CEO untuk berkongsi pengalaman tetapi juga dalam menyumbangkan kewangan kepada UA.

“Saya berpendapat usaha oleh KPT bukan saja dipuji dan disambut dengan menggalakkan CEO daripada pelbagai syarikat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), malah dibuka kepada pegawai tinggi kerajaan,” katanya dalam ucapan pada Majlis Apresiasi dan Penyampaian Watikah Pelantikan Program CEO Fakulti, semalam.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan mahu CEO yang dilantik berkhidmat dengan universiti tidak hanya berkongsi ilmu dan pengalaman dalam fakulti ditetapkan, tetapi pada masa sama melatih penuntut universiti mendekatkan diri dengan sektor korporat.

Menurut beliau, pencapaian akademik penuntut universiti perlu perimbangan dari segi pendidikan, sahsiah, akhlak dan personaliti.

“Jika tidak terdapat keseimbangan, berlaku kepincangan dari segi produk akhir (graduan) dikeluarkan universiti.

“Saja juga berharap agar pihak CEO yang terbabit dalam program ini membantu mengkomersialkan semua hasil penyelidikan berkualiti oleh pihak universiti,” katanya yang turut diumumkan dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti Malaysia Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 8:43 AM