Datuk Dr Ir Muhammad Guntor Mansor Tobeng. FOTO Arkib NSTP
Datuk Dr Ir Muhammad Guntor Mansor Tobeng. FOTO Arkib NSTP
Ihsan Noorzali


Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melantik tokoh usahawan teknologi solar Datuk Dr Ir Muhammad Guntor Mansor Tobeng sebagai Prof Adjung untuk tempoh dua tahun bermula 1 Jun lalu sehingga 30 Mei 2023.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan tugas sebagai Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, Muhammad Guntor akan berkongsi dan menyumbangkan kepakarannya bersama warga Fakulti Sains dan Matematik (FSM).

"UPSI yakin beliau akan berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif demi memastikan graduan yang dihasilkan dapat menempatkan diri di dalam dunia kerjaya, " katanya.

Muhammad Guntor adalah pengasas dan pengarah urusan Gading Kencana Sdn Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan dan pembekalan tenaga boleh diperbaharui, khususnya solar.

Md Amin berkata, pelantikan berkenaan sebagai usaha merapatkan jurang antara universiti dengan industri dalam membentuk kebersamaan yang dapat membantu universiti dalam memberi idea terutamanya pembinaan program akademik yang menyediakan pelajar yang diperlukan industri sebelum memasuki dunia pekerjaan kelak.

Beliau berkata, Muhammad Guntor adalah tokoh terkemuka dalam perniagaan industri tenaga di Malaysia yang meraih pelbagai anugerah dari dalam dan luar negara.

"Pemilihan beliau adalah berdasarkan pengalaman yang sangat luas di dalam bidang ini serta inovasi-inovasi yang pernah beliau lakukan berkaitan bidang tenaga yang boleh diperbaharui ini di dalam dan luar negara," katanya.

UPSI, katanya, merancang pelbagai program bersama beliau termasuklah beberapa siri syarahan, seminar dan bengkel yang membabitkan pemindahan ilmu, terutamanya di dalam bidang ilmu dan industri tenaga boleh diperbaharui bersama tenaga akademik dan penuntut di FSM.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Jun 2021 @ 8:37 AM