Syed Hussian Aljunid (tengah) menerima surat lantikan daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah UNITEN, Datuk Ir Baharin Din (kanan), dan disaksikan Naib Canselor UNITEN, Prof Ir Dr Noor Azuan Abu Osman (kiri).
Syed Hussian Aljunid (tengah) menerima surat lantikan daripada Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah UNITEN, Datuk Ir Baharin Din (kanan), dan disaksikan Naib Canselor UNITEN, Prof Ir Dr Noor Azuan Abu Osman (kiri).
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Pengerusi Kumpulan Media Prima Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dilantik sebagai Profesor Adjung Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

Surat perlantikan beliau diserahkan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Uniten Datuk Indera Ir Baharin Din disaksikan Naib Canselor Uniten, Prof Ir Dr Noor Azuan Abu Osman.

Pelantikan itu selaras komitmen Uniten untuk meningkatkan pembelajaran dengan menghubungkan penuntut dan pakar industri.

Noor Azuan berkata, pihaknya teruja atas pelantikan itu dan kesudian Syed Hussian bertemu serta berkongsi pengetahuan kepada penuntut Uniten.

"Sebagai profesional yang bekerja dalam pelbagai bidang, beliau mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang boleh dikongsi bersama penuntut untuk membolehkan mereka memahami serta mengaplikasikan teori dipelajari di dalam kelas.

"Kami percaya beliau akan memberikan pandangan berharga dan nasihat yang akan membantu menyediakan penuntut untuk masa depan mereka dalam menghadapi perkembangan terkini serta perkembangan dunia yang pesat berubah.

"Ini adalah salah satu cara kita mengindustrikan universiti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Hussian mempunyai lebih 30 tahun pengalaman profesional dalam industri insurans, teknologi dan media, selain berperanan aktif membantu pelajar Malaysia mendapat akses pendidikan berkualiti.

Banyak sumbangan beliau kepada sistem pendidikan Malaysia yang diakui secara meluas oleh universiti terkemuka negara termasuk Universiti Malaysia Sarawak (Unimas); Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Universiti Teknikal Malaysia (UteM), Melaka, di mana beliau menerima Ijazah Kehormat Doktor Teknologi Kejuruteraan.

Peranan beliau dalam pendidikan lain termasuk Penasihat Program Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan (UMK); Pengerusi Program WD-Kementerian Pengajian Tinggi dan Ahli Program Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Multimedia.

Sementara itu, Syed Hussian berbesar hati diberi keistimewaan untuk menyampaikan ilmu kepada generasi akan datang.

"Sebagai peneraju industri, kami mempunyai kelebihan melalui pengalaman terutama tenaga kerja. Kami harus mengambil tanggungjawab membuat perubahan dalam kehidupan melalui pengajaran sebagai persediaan penuntut menghadapi cabaran masa depan.

"Saya tidak sabar untuk terbabit bersama penuntut Uniten dan pasti mereka teruja untuk mengetahui lebih lanjut mengenai kumpulan media terbesar di Malaysia," katanya.

Untuk rekod, Uniten yang diasaskan oleh TNB adalah institusi tertumpu kepada Kejuruteraan; Sains Komputer dan Teknologi Maklumat; Pengurusan Perniagaan; Perakaunan; Kewangan; Pemasaran; Sumber Manusia; Ekonomi dan pelbagai bidang berkaitan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 January 2023 @ 4:23 PM