PAKNIL
PAKNIL
Najiy Jefri


Kuala Lumpur: Datuk Aznil Nawawi tampil mempertahankan pelantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai pakar Pusat Pendidikan Berterusan Pendidikan Universiti Malaya (UMCced), baru-baru ini.

Menurut Aznil yang juga alumni Universiti Malaya (UM), pelantikan Siti bukan sebagai profesor, ahli akademik atau tenaga pengajar di institusi berkenaan, sebaliknya sebagai ikon bagi tujuan mempromosi pembelajaran berterusan.

"UM ada bahagian swasta iaitu UMCced dan mereka bersaing dengan universiti lain. Kemampuan mereka untuk mengambil Siti adalah atas usaha untuk bersaing dengan universiti lain.

"Pelantikan Siti itu sebagai ikon, bukan profesor, bukan sebagai ahli akademik, bukan sebagai tenaga pengajar. Hanya ikon yang mempromosikan program pembelajaran berterusan," katanya.

Menurut Aznil, Siti layak diberi pengiktirafan itu kerana sumbangan dan pengalamannya dalam dunia seni selama hampir tiga dekad.

"Orang ramai yang mengutuk kata dia belajar tidak tinggi, kadang-kadang kita harus ingat bahawa dia tidak mengajar. Sekiranya dia mengajar mungkin mengenai falsafah kehidupan, falsafah kemanusiaan kerana beliau aktif dalam aktiviti kemanusiaan.

"Bagaimana Siti mampu mengubah kehidupan daripada orang biasa sehingga menjadi nombor satu negara.

"Berada dalam industri seni lebih 10 atau 15 tahun bekerja boleh dikira pakar kerana dia tidak membuat kerja lain selain kerja itu saja," katanya.

Dalam masa sama, Aznil turut berkongsi mengenai perbezaan pelantikannya sebagai Profesor Adjung di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi Universiti Malaya (UM) tahun lalu.

"Saya dilantik sebagai profesor adjung dan dibenarkan mengajar bukan kerana saya popular, tetapi pelantikan itu atas kelayakan akademik dan juga pengetahuan serta kelayakan kepakaran bergiat dalam industri lebih dari 20 tahun," katanya.

Dalam pada itu, Siti yang diwakili syarikat pengurusannya Siti Nurhaliza Productions dalam satu kenyataan belum bersedia memberikan sebarang komen berhubung pelantikan penyanyi itu sebagai pakar di UMCced

"Buat masa ini, Siti tidak akan mengeluarkan apa-apa kenyataan sempena pelantikan pakar di UMCced kerana kenyataan rasmi harus dikeluarkan terlebih dahulu oleh pihak berkenaan

"Selepas kenyataan rasmi sempena pelantikan dibuat, Siti akan beri maklum balas kepada media mengenai perkara ini," katanya.

Terdahulu, pelantikan penyanyi Aku Bidadari Syurgamu itu meraih maklum balas pelbagai segelintir netizen termasuk kononnya tidak layak diberikan jawatan berkenaan kerana tiada kelayakan akademik kukuh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Jun 2024 @ 3:44 PM