AZNIL mahu adakan kelas bergerak seluruh negara selepas ini. FOTO Nurul Shafina Jemenon
AZNIL mahu adakan kelas bergerak seluruh negara selepas ini. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Najiy Jefri


PENGACARA Datuk Aznil Nawawi mengumumkan sudah melepaskan jawatannya sebagai Naib Presiden Pengurusan Bakat On Air Astro pada 31 Disember lalu.

Bagaimanapun, Aznil menafikan khabar angin bahawa dia mengambil skim pemisahan sukarela (VSS) yang ditawarkan pihak Astro kepada pekerjanya penghujung tahun lalu.

"Sebenarnya jawatan sebagai Naib Presiden tiada tawaran VSS, tetapi saya sudah lama menyimpan niat untuk memulakan perniagaan membuka kelas pengacaraan dan pengucapan awam kepada masyarakat sejak setahun lalu.

“Jadi apabila Astro menawarkan VSS kepada pekerjanya, saya turut ingin mengambil langkah sama kerana sudah ada beberapa perancangan untuk melakukan kelas bergerak selepas ini.

"Apabila saya syorkan kepada pihak Astro mereka beri kelulusan dengan syarat masih lagi berkhidmat sebagai pengacara dan mengajar kelas mengajar bakat On Air," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran program Mikrofon Impian di restoran The Majapahit, Kuala Lumpur.

Aznil memegang jawatan terbabit secara tetap pada 1 Oktober 2015.

Menurut Aznil, sehingga kini dia masih lagi bakat eksklusif stesen televisyen itu menerusi kontrak sehingga 2020.

“Kontrak melahirkan bakat baru masih berbaki dua tahun dan saya masih meneruskan tanggungjawab mengajar bakat baru di Astro, ia cuma tidak terikat saja untuk bekerja secara tetap.

“Saya mempunyai perancangan untuk mengadakan kelas bergerak seluruh negara. Saya lihat orang menggunakan platform digital untuk berniaga serta kebolehan bercakap depan kamera dan pengucapan awam dilihat satu bisnes yang mendapat permintaan tinggi.

“Saya fikir kalau terus terikat dengan Astro, susah untuk menjalankan perniagaan ini kerana bercanggah dengan etika kerja. Jadi saya lepaskan jawatan ini supaya dapat memberi perhatian kepada perniagaan baru ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 6:41 PM