Janna Nick pada minggu kedua konsert famili duo. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Janna Nick pada minggu kedua konsert famili duo. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Ramlah Zainal


Shah Alam: Pelakon dan pengacara, Janna Nick memohon maaf jika ada pihak yang terguris hati dengan apa yang diperkatakannya di pentas program realiti Famili Duo musim ketiga (FD3) minggu lalu.

Menurut Janna atau nama sebenarnya, Nurul Janna Muner, 28, mereka yang terbabit dalam industri hiburan lebih mengenali antara satu sama lain tapi pada pandangan orang luar mungkin apa yang dilakukannya itu agak sensitif.

"Sekiranya, ada pihak yang terasa dengan apa yang saya perkatakan di pentas itu, saya mohon maaf," katanya ketika diminta mengulas kecaman dari netizen yang mendakwa dia memetik serta membandingkan program realiti, FD3 dengan program hiburan lain pada minggu lalu.

Kata Janna lagi, apa yang dilakukannya di pentas berdasarkan skrip dan permintaan penerbit untuk merancakkan lagi pentas FD3.

"Sebenarnya apa yang saya buat itu memang ada dalam skrip tapi bila saya bercakap secara spontan di pentas, saya 'tambah rasa' sikit lah.

"Pada pandangan saya okay sahaja sebab rancangan di sebelah sana buat dulu (bahan-membahan)," kata Janna ketika ditemui pada sidang media, malam tadi.

Bagaimanapun, kata Janna, secara peribadi dia dan penerbit FD3 tiada sebarang isu dengan mana-mana pihak atau program hiburan lain.

"Sebagai pengacara, saya hanya melakukan apa yang diminta oleh pihak produksi dan akan sentiasa cuba sedaya upaya untuk memberikan yang terbaik.

"Saya juga berpegang pada prinsip untuk mendengar nasihat dan pandangan daripada penerbit kerana itu tanggungjawab kita bila bekerja bersama mereka," katanya.

Tambahnya lagi, dia hanya buat kerja dengan jujur dan ikhlas seperti diamanahkan.

"Jika penerbit minta saya untuk 'bakar line', kita akan buat. Kalau penerbit nak kita 'tone down' dan baik sedikit pada minggu itu jadi kita akan buat seperti diminta," kata Janna yang bergandingan bersama penyanyi, pelakon dan pengacara, Izzue Islam bagi mengacarakan program realiti, FD3 setiap Ahad, jam 9 malam di TV3.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Oktober 2023 @ 12:57 PM