DANIAL (kiri) ketika mengacara Gegar Vaganza 9 bersama Elly Mazlein malam tadi.
DANIAL (kiri) ketika mengacara Gegar Vaganza 9 bersama Elly Mazlein malam tadi.
Zaara Talita

Kuala Lumpur: Pelawak, pengacara dan penyampai radio, Danial Zaini memohon maaf kepada semua peminat dan penonton program Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) yang tidak selesa dengan cara dia mengendalikan pentas itu, malam tadi.

Rata-rata netizen meluahkan rasa kecewa dengan cara Danial mengendali GV9 dan mendakwa pelawak itu sudah merosakkan program popular itu.

Danial berkata, dia diminta untuk menggantikan tempat pengacara, Nabil Ahmad empat jam sebelum siaran langsung konsert minggu kedua GV9 bermula.

"Mungkin ada yang tak tahu apa berlaku di belakang tabir. Nabil tak ada minggu ini kerana terbabit dengan program lain. Saya pula setiap minggu memang terbabit dengan GV Live +.

"Saya jadi bidan terjun dan diberitahu empat jam sebelum konsert. Saya dapat panggilan daripada produksi GV9 dalam jam 3 atau 4 petang. Mereka kata 'urgent' kena ganti Nabil.

"Memang ada usaha mencari pengacara lain, tapi mereka tak dapat mengacarakan GV. Jadi, saya ambil tanggungjawab itu. Kalau tolak, saya tetap kena datang buat GV Live +.

"Saya tak ada 'rehearsal' apa-apa di pentas, cari baju pun pada saat akhir. Saya dapat skrip dalam dua jam sebelum naik pentas. Saya terus jumpa Kak Lina untuk baca skrip," katanya.

Danial berkata, dalam GV, siapa saja yang menggantikan Nabil pasti akan dibuat perbandingan kerana Nabil sudah lama mengacara program itu.

"Saya masih baru dalam bidang pengacara. Saya faham dan hadap benda ini sebagai anak seni. Namun, saya tetap bangga dapat peluang menjadi pengacara GV. Saya minta maaf kepada peminat GV. Ada yang kata saya rosakkan program dan anggap saya pengacara paling teruk, tapi saya reda dan terima.

"Ini pengajaran untuk saya tetapi saya tetap akan terus belajar. Saya hanya melakukan kerja untuk mencari nafkah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 2:28 PM