Pengacara Women Talk, Sazzy Falk. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Pengacara Women Talk, Sazzy Falk. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Ramlah Zainal


Petaling Jaya: Pelakon dan pengacara, Sazzy Falak menyifatkan tindakan hos yang memetik dan membandingkan atau 'bahan membahan' program hiburan lain sebagai tidak profesional (pro).

Menurut Sazzy atau nama sebenar, Sazlini Shamsul Falak, 43, perkara seperti itu tidak sepatutnya dilakukan seorang hos ketika mengendalikan sesebuah program hiburan di pentas.

"Sebagai contoh, dalam kumpulan Celepets, saya, Atilia, Aishah Sinclair dan Dynas Mokhtar, semuanya terbabit dalam bidang pengacaraan tetapi kami tidak pernah 'bahan membahan' program orang lain.

"Mungkin hos yang melakukan tindakan seperti itu 'insecure' (berasa tidak selamat) dengan diri mereka sendiri," katanya ketika diminta mengulas pengacara Janna Nick menerima kecaman dari netizen yang mendakwa dia memetik serta membandingkan program realiti, Famili Duo 3 (FD3) dengan program hiburan lain baru-baru ini.

Kata Sazzy, dia sudah berkecimpung dalam bidang pengacaraan selama 23 tahun dan tidak mahu terbabit dalam program berbentuk gosip dalam dunia hiburan.

"Terus terang, saya juga akan menolak jika diminta penerbit untuk melakukan tindakan 'bahan membahan' atau bergosip mengenai program lain walaupun ada dalam skrip.

"Justeru, saya gembira kerana program Women Talk tidak melakukan perkara seperti itu sebaliknya ia memaparkan isu dan topik yang serius memperkasakan golongan wanita," kata Sazzy ditemui pada sidang media program bual bicara Women Talk musim 4 petang semalam.

Pada masa sama, kata ibu kepada tiga anak ini, dua anak kembarnya sudah besar dan mereka juga mengikuti perkembangan di media sosial.

"Saya juga tidak mahu anak-anak saya menonton program saya 'bahan membahan' orang lain pula di TV," katanya.

Program Women Talk musim 4 sebanyak 10 episod yang menampilkan Sazzy sebagai pengacara ini akan mula bersiaran setiap Sabtu, jam 5 petang di TV3 bermula 28 Oktober ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 2:35 PM