Fauziah Ahmad Daud
Fauziah Ahmad Daud
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Saya tak dikecam semasa buat Melodi? Teruk saya, masa masuk masjid, semua orang cakap aku nak sesatkan orang."

Demikian perkongsian pelakon dan pengacara, Fauziah Ahmad Daud ketika diminta mengulas mengenai sikap pengacara generasi baharu, yang menurutnya kurang berani untuk menyelongkar dunia pengacaraan.

Fauziah yang pernah mengendalikan program Melodi di TV3 selama tujuh tahun menyeru agar pengacara generasi baharu lebih berani untuk mencari identiti sendiri.

"Cipta identiti. Saya tak nampak identiti. Saya berani dan buat apa yang saya pernah buat di Melodi. Saya gabungkan bakat lakonan dan pengacaraan serta sedikit lawak jenaka yang saya warisi daripada Ahmad Daud.

"Orang fikir, pengacara hanya bercakap sahaja. Kadang-kadang, mereka ini buat lawak 'lemang'. Bila saya tengok, saya cakap, 'kau tak kelakar, okay'. Kau tak berani, takut. Jadi, macam mana nak berkembang?" katanya.

Tambah Fauziah atau lebih mesra disapa Ogy, seseorang pengacara juga tidak boleh bersikap malas.

"Kamu malas, kamu takkan ke mana. Takkan berkembang. Sepatutnya, pengacara melihat perspektif berbeza. Kalau tak nak selongkar, jadilah acuan, templat untuk pengacara di Malaysia yang takut dikecam," katanya.

Fauziah juga menggalakkan pengacara generasi baharu supaya mendapatkan skrip atau draf lebih awal walaupun dia tahu, hakikatnya, skrip untuk pengacara sentiasa akan datang di hujung waktu.

"Saya minta skrip awal, atau sekurang-kurangnya, draf. Saya tak mahu soalan-soalan yang akan mengaibkan orang, tetapi, mencabar minda mereka untuk menjawab.

"Minta daripada penerbit sebab kita (pengacara) ada kerja nak dilakukan. Jadi, kena sentiasa bersedia. Kalau bercakap sahaja, umpama tak ada jiwa," katanya.

Terbaharu, Fauziah bakal muncul menerusi telefilem Dosa Tak Terampun yang turut membariskan barisan pelakon hebat antaranya Nad Zainal, Wan Maimunah dan Syafie Naswip.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 1:19 PM