Nash.
Nash.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Nash bersikap terbuka untuk menyanyi atau merakamkan lagu berkonsep cinta untuk peminatnya.

Nash, 63, berkata, dia tidak melihat usia adalah penghalang untuk menyanyikan lagu-lagu berunsur cinta kerana peminatnya terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

"Kita kena faham cita rasa generasi baru. Selain generasi lama yang turut menyokong saya ialah generasi baru dan mereka mahukan faktor 'wow' daripada sentuhan kita kepada mereka.

"Itu adalah pengalaman dan terserah kepada cara kita untuk mengendalikan mereka agar mereka terhibur. Sudah pasti mereka ada penilaian tersendiri terhadap kita.

"Lagu-lagu ini dihasilkan pada usia muda saya dan digemari mereka seperti Ku Di Halaman Rindu, Tiada Lagi Kidungmu, Kenangan Bersamamu, Zahir Tak Terucap dan Pada Syurga Di Wajahmu," katanya yang juga penyanyi Lefthanded.

Menurutnya, dia juga pernah menyanyikan lagu Pada Syurga Di Wajahmu untuk golongan isteri dan ia kekal diminati ramai isteri yang berusia dan dari generasi muda.

"Semua lagu-lagu ini diminati bukan kerana saya hebat tapi kerana kerja berpasukan. Komposer dan penulis lirik hasilkan karya menarik, manakala saya dapat menjiwai lagu dengan baik dan terjemahkan kepada peminat.

"Kita nak nyanyi lagu ketuhanan itu boleh, tapi jangan kita 'kejam' pertikaikan generasi baru yang sedang bercinta. Mereka juga perlukan 'guide' dalam bercinta.

"Mereka juga perlu ada rasa cinta. Tapi kalau rasa cinta ini kita definisikan cinta kita kepada Allah pun boleh juga secara tak langsung," katanya.

Nash berkata, dia pernah menyanyikan lagu Asli yang dianggap sebagai lagu cinta tetapi sebenarnya ditujukan kepada Rasulullah SAW.

"Kita kena letakkan kebijaksanaan kepada karya kita. Bila menyanyi lagu sendiri, kita kena faham lagu itu dan ceritakan kepada mereka yang tak faham. Saya menyanyikan lagu ini depan mereka yang berjubah.

"Saya juga menyanyikannya depan mat rock yang pakai anting-anting. Jadi tiada masalah pun. Maknanya, kita kena tahu di mana nak letakkan nyanyian kita kepada golongan peminat yang bagaimana," katanya.

Terdahulu, penyanyi, Yantzen pernah mendedahkan tidak berminat merakamkan lagu baru berunsurkan cinta sesama manusia.

Yantzen berkata, pada usianya sekarang, dia melihat tidak sesuai untuk menyanyikan lagu-lagu cinta dan meminta penulis lirik menukar lirik lagu baharunya yang dimuatkan dalam album Semangat Zaman 3.

Dalam perkembangan lain, Nash bakal menjayakan konsert sempena ulang tahun ke-20 album Semangat Zaman yang diterbitkan pada 2004 di Zepp Kuala Lumpur pada 29 September ini.

Konsert berkenaan turut menampilkan artis-artis rock legenda tanah air seperti Yantzen (Rusty Blade), Joey (BPR), Aris (Ariwatan), Jatt (Black Dog Bone), Rahmad (Mega), Muss dan Bandi (Amuk).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2023 @ 1:06 PM