Ridzuan Abdul Rahman


'Tuhan sengaja menduga kita,

Di mana kesabaran manusia

Engkau isteri yang kusanjungi

Lambang semangat cinta dunia'

DENGAR saja rangkap pertama lagu Pada Syurga Di Wajahmu nyanyian Datuk Nash ini, pasti mengingatkan semua pendengar terutama mereka yang sudah berkahwin betapa hebat wanita bergelar isteri.

Sesungguhnya cinta suami kepada isteri dengan menghargai peranan wanita itu dituliskan dalam gambaran lirik yang indah dan puitis, sekali gus hingga kini lagu Pada Syurga Di Wajahmu tetap diminati dan malar segar.

Mengimbau semula kenangan lagu Pada Syurga Di Wajahmu di pentas kemuncak Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-7 (AJL 7) pada 1992, sememangnya karya seni ini amat diminati pendengar muzik Malaysia.

Nash berkata, apa yang pasti beliau menyifatkan AJL itu sebagai pentas pengiktirafan dan 'gelanggang' untuk meletakkan kejayaan komposer dan penulis lirik selain penyanyi lagu itu sendiri.

NASH bersama trofi AJL 7 yang dimenanginya pada 1992.
NASH bersama trofi AJL 7 yang dimenanginya pada 1992.

Menurutnya, jangan sesekali beranggapan penyanyi hanya sandaran untuk meletakkan kejayaan kepada komposer dan penulis lirik kerana penyanyi juga ada peranan tersendiri.

"Tanpa kekuatan vokal dimiliki seorang penyanyi itu, lagu pun tak boleh nak diketengahkan atau diiktiraf. Maknanya ia perlu situasi menang-menang. Kekuatan penyanyi itu juga penting.

"Dari segi komposer dan penulis lirik pula sememangnya memainkan peranan utama sekali dalam pertandingan AJL ini.

"Kalau komposer tak berapa bagus dan lagu tidak mendapat tempat di hati peminat, agak susah juga. Kadang-kadang lagu tak bagus, tapi berdasarkan penilaian daripada masyarakat Malaysia akan nampak kredibiliti penyanyi itu dari segi penyampaiannya (nyanyian) sama ada bagus atau tidak.

"Bagi saya itu tindakan yang betul. Tapi, di AJL kita lebih iktiraf kepada komposer dan penulis lirik sesebuah karya lagu itu," katanya.

Menurut Nash, AJL juga hendaklah terus digembar-gemburkan menerusi promosi yang melebihkan tenaga di sebalik tabir dan bukanlah penyanyi sahaja. Baru bertepatan dengan nama AJL itu sendiri.

"Bagaimanapun, sekarang yang kita tengok menerusi iklan promosi lebih kepada penyanyi yang akan bertanding. Contohnya lagu Pada Syurga Di Wajahmu, hanya muka saya yang keluar TV, meskipun penyanyi diangkat oleh komposer dan penulis lirik.

"Mana muka komposer lagu, Fauzi Marzuki, penulis lirik, Allahyarham Bob Lokman dan penyusun muzik lagu ini. Jadi, AJL perlu diubah bentuk promosi dan kena letak apresiasi terhadap mereka.

NASH bersama Allahyarham Bob (kiri) dan Fauzi (tengah) menjuarai AJL 7 menerusi lagu Pada Syurga Di Wajahmu.
NASH bersama Allahyarham Bob (kiri) dan Fauzi (tengah) menjuarai AJL 7 menerusi lagu Pada Syurga Di Wajahmu.

"Untuk penyanyi dah ada kategori Vokal Terbaik dan Persembahan Terbaik. Semuanya saling melengkapi, tapi yang ditonjolkan hanya penyanyi dan bukan penggubah lagu. Itu buat mereka di belakang tabir kurang dikenali," katanya.

Nash berkata, beliau berharap dengan perkongsian pendapat disuarakannya itu terhadap corak promosi akan diberi perhatian untuk penambahbaikan pada penganjuran di masa hadapan supaya AJL terus gah dan gemilang.

"Apa pun, saya tetap meletakkan AJL sebagai satu pertandingan mengiktiraf muzik yang berprestij dan semua pihak ingin merasai pengalaman dan keseronokan bertanding di pentas besar ini.

"Saya juga percaya lagu yang tersenarai di pentas AJL semuanya terbaik dan mempunyai keistimewaan tersendiri. Masing-masing iaitu penyanyi, komposer dan penulis lirik berpeluang meraih kemenangan," katanya.

Sehubungan itu, kemuncak AJL38 pada malam ini bersiaran secara langsung dari Axiata Arena, Bukit Jalil, jam 9 malam dan disiarkan juga di TV3. Sebanyak 12 lagu berentap yang membabitkan barisan finalis antaranya Aina Abdul, Ernie Zakri, Aishah Retno, Khai Bahar, Nabila Razali, Keugiran Masdo, Wany Hasrita, Afieq Shazwan dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2024 @ 6:30 AM