KUMPULAN The 1975 masih membisu selepas akaun instagram mereka dikecam netizen. FOTO REUTERS
KUMPULAN The 1975 masih membisu selepas akaun instagram mereka dikecam netizen. FOTO REUTERS
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur : Kumpulan The 1975 masih 'membisu' berhubung aksi biadap penyanyi mereka, Matty Healy di konsert Good Vibes Festival 2023 kelmarin walaupun akaun Instagram mereka 'diserang' netizen kebanyakannya dari Malaysia sejak malam kelmarin.

Hantaran terbaru di Instagram @the1975 menerima lebih 20,000 komen yang hampir semuanya mengutuk tindakan Healy yang disifatkan tidak profesional, biadap dan mengecewakan.

Healy juga dikecam kerana dikatakan menjadi punca penganjur, vendor, peniaga dan peminat berdepan kerugian. Mereka juga kecewa apabila Healy turut menjadi punca penonton tidak dapat menonton persembahan artis lain terutamanya band popular Amerika Syarikat, The Strokes yang sepatutnya membuat persembahan malam ini.

Pelakon, Izzue Islam turut menulis komen kerana tidak dapat menonton The Strokes angkara Healy itu.

"Samdol la kau ni. Aku takleh (tak boleh) tengok The Strokes sebab kau tau dak!"

"Wow, terima kasih banyak, The 1975. Anda secara rasmi sudah menyukarkan Malaysia untuk mengadakan konsert antarabangsa lagi," tulis seorang lagi pengikut.

Beberapa netizen pula mempersoalkan tindakan Healy untuk menyatakan pendapatnya berhubung aksinya mencium pemain bassnya, Ross MacDonald itu.

"Anda boleh membuat kenyataan yang halus (berlapik) tetapi (Healy) mahu melakukannya dengan mencium bibir pemain bassnya," kata pengguna akaun @risenshinedunia

Manakala, pengguna akaun @bunnyeunkook2 pula berkata, The 1975 sepatutnya menghormati adat dan undang-undang di Malaysia.

"Tidak kira anda gay atau lesbian. Tetapi jika anda membuat persembahan di Malaysia, sila berhati-hati dengan adat kami," tulisnya.

Ramai juga menyifatkan Healy sengaja berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan Malaysia yang menentang aktiviti LGBT di negara ini.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil mengumumkan mengenai pembatalan Good Vibes Festival 2023 yang sepatutnya berakhir malam ini selepas perbincangan dilakukan antara pihak kementerian dengan penganjur, Future Sound Asia.

Pembatalan itu dibuat selepas berlaku insiden yang bersifat biadab, dilakukan Healy yang tampil di pentas dengan memegang botol arak, mengeluarkan kata-kata kesat, merendahkan agama rasmi dan undang-undang Malaysia serta mencium mulut pemain bassnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 12:07 PM