Antara penjual makanan di Good Vibes Festival 2023, Nazri.
Antara penjual makanan di Good Vibes Festival 2023, Nazri.

Kuala Lumpur : Pengusaha makanan dan minuman antara yang terjejas teruk dengan pembatalan Good Vibes Festival 2023 (GVF) susulan perilaku biadap band The 1975 pada hari pertama acara itu, kelmarin.

Seorang peniaga makanan dikenali sebagai Nazri berkata, peluang menjual produk mereka di festival itu sangat berharga dan membantu mereka meraih pendapatan.

"Kami adalah antara vendor di GVF. Saya hantar mesej ini sebagai wakil semua vendor makanan terbabit. Saya harap mesej ini sampai pada kamu, Fahmi Fadzil (Menteri Komunikasi dan Digital). Saya faham implikasi semalam (kelmarin) dan kesan terhadap orang Malaysia dari aspek sosial, politik dan ekonomi.

"Bagaimanapun, kami semua pengusaha perniagaan kecil berharap dapat peluang untuk tingkatkan jualan, keuntungan kami. Keadaan sangat mencabar, tahun ini khususnya sangat sulit," katanya.

Nazri berkata, modal dilaburkan bukan kecil dan menyifatkan peluang dapat berniaga di acara itu sangat bermakna.

Menurutnya, tindakan pembatalan baki dua hari festival itu sangat besar kesannya kepada mereka.

"Paling minimum kami belanjakan lebih RM15,000. Ia tidak termasuk kos sewa, penginapan, kakitangan, logistik dan seluruh masa menyediakan makanan.

"Ini bukan jumlah kecil untuk pengusaha seperti kami. Bagaimana tindakan sebegini akan membantu kami untuk maju?" katanya yang meluahkan kekecewaan berikut tidak dapat meneruskan perniagaan mereka di GVF.

Terdahulu, GVF dicemari aksi biadap band antarabangsa, The 1975 yang membuat onar pada hari pertama festival itu.

Penyanyinya, Matty Healy memperlekehkan undang-undang Malaysia selain mencium mulut pemain bassnya, meminum arak di atas pentas, meludah dan memusnahkan drone milik penganjur.

Susulan itu, semalam Fahmi mengumumkan pembatalan acara itu. Ia dibuat selepas perbincangan bersama penganjur GVF.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Julai 2023 @ 11:13 AM