Penyanyi, Haqiem Rusli pada Sidang Media RockMantik Night Judika and The Gang di Center Court, Pavilion Kuala Lumpur. FOTO GENES GULITAH
Penyanyi, Haqiem Rusli pada Sidang Media RockMantik Night Judika and The Gang di Center Court, Pavilion Kuala Lumpur. FOTO GENES GULITAH
Zaara Talita

 

Kuala Lumpur: Penyanyi Haqiem Rusli menepis dakwaan kontroversi yang melingkari dirinya memberi impak terhadap sambutan lagu single terbaharunya berjudul Disebalik Rahsia.

Pelantun lagu Tergantung Sepi itu mengakui bukan mudah untuk menjangkakan sama ada sesebuah lagu itu bakal menjadi hit atau kurang mendapat sambutan. 

"Secara jujurnya single terbaharu saya berjudul Disebalik Rahsia kurang mendapat sambutan. Namun apa yang penting saya terus berkarya dan tidak berputus asa.

"Sekurang-kurangnya anda teruskan memberi sokongan terhadap kerjaya seni saya. Bagi saya tidak ada sebarang kaitan kerana kehidupan peribadi dan kerjaya saya adalah dua perkara berbeza.

"Mungkin rezeki tidak berpihak kepada lagu terbabit dan rezeki kepada lagu lain pula pada masa akan datang. Saya sering mendapat nasihat, jika lagu itu tidak dapat sambutan, teruskan berkarya.

"Ada lagu yang menjadi, ada lagu yang kurang menjadi. Jadi sebagai seniman, jangan sesekali berputus asa sebaliknya terus berkarya menghasilkan sesuatu yang baharu," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, nama Haqiem dan isterinya, Anis Sofea menjadi hangat apabila Sofea mengambil keputusan untuk tidak lagi bertudung sejak sambutan Aidilfitri lalu.

Malah, Haqiem turut menepis dakwaan yang mengatakan rumah tangganya bermasalah namun mengakui spekulasi itu mungkin berpunca daripada dia jarang berkongsi mengenai isterinya di laman sosial.

Haqiem mengulas mengenai perkara itu ketika ditemui di sidang media Konsert RockMantic Night Judika and The Gang yang berlangsung baru-baru ini.

Selain Haqiem, konsert yang bakal berlangsung pada 21 Oktober depan di Axiata Arena, Bukit Jalil turut menampilkan teraju utama Judika dari Indonesia serta dua penyanyi tempatan, Shila Amzah dan Marsha Milan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 3:59 PM