Haqiem Rusli dan isteri
Haqiem Rusli dan isteri
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Susulan teka-teki berhubung rumah tangganya, penyanyi Haqiem Rusli, 24, sebaiknya mahu menyimpan kisahnya dengan isteri, Anis Sofea atau Sofea, 21, secara peribadi.

Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli berkata dia juga tiada keperluan untuk berkongsi atau memberi sebarang penjelasan mengenainya.

"Selamat hari raya. Maaf buat masa sekarang saya ambil langkah untuk berdiam diri. Maaf ya," katanya ringkas kepada Harian Metro.

Penyanyi lagu Tergantung Sepi itu juga tidak pasti sama ada dia perlu tampil dengan sebarang kenyataan buat masa sekarang.

"Tak tahu lagi. Sebab saya rasa ini 'private life' (kehidupan peribadi) saya. Biarlah saya simpan sahaja," katanya.

Bagaimanapun, Haqiem meyakinkan bahawa hubungan mereka sebenarnya tidak bermasalah pun.

"Saya dan Sofea baik-baik sahaja. Doakan kami ya," katanya.

Baru-baru ini, Sofea atau nama sebenarnya Wan Anis Sofea Wan Zamzuri mencetuskan tanda tanya apabila 'memadam' foto bersama Haqiem di Instagram.

Lebih mengejutkan, penampilannya juga sudah tidak berhijab sedangkan Haqiem sangat menitikberatkan aspek itu sebelum ini.

Bagaimanapun, keesokan harinya Sofea kemudian memuat naik foto terbaru mereka berdua sekali gus menepis spekulasi liar mengenai hubungan mereka.

Haqiem dan Sofea bernikah pada 19 November 2021 di Cyberjaya. Namun, pasangan muda ini masih belum dikurniakan cahaya mata.

Dalam pada itu, penyanyi terbabit berkongsi dia bakal melancarkan lagu baharu sebuah runut bunyi pada sekitar Mei atau Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2023 @ 1:04 PM