Muhammad Yusri Muzamir


Kuala Lumpur: Penambahbaikan sistem saraan diumumkan kerajaan baru-baru ini, adalah antara kaedah untuk mengatasi penghijrahan bakat tempatan ke negara luar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata pendekatan itu dibuat bagi memastikan pekerja sektor awam mendapat gaji setara dengan kadar diberikan negara luar.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang bagaimanapun menjelaskan penambahbaikan sistem saraan itu dibuat berdasarkan tahap kewangan negara.

"Negara perlu mengekang penghijrahan cendekiawan ke negara luar, tetapi kita belum ada angka rasmi mengenai peratusan penghijrahan cendikiawan untuk bekerja.

"Justeru, kita perlu membangunkan sistem lebih baik untuk mengenal pasti golongan ini," katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai 5.5 peratus atau 1.18 juta penghijrahan cendekiawan pada 2023.

Sementara itu, Dr Zaliha berkata, kerajaan maklum isu hijrah cendekiawan bakal menyebabkan kita mengalami masalah kekurangan tenaga kerja pakar dan berbakat, sekali gus menjejaskan struktur pertumbuhan ekonomi.

Beliau berkata, hijrah cendekiawan dalam konteks penajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) adalah pergerakan graduan tajaan yang memilih untuk berkhidmat di luar negara selepas tamat penajaan dan pengajian.

"Kerajaan sebelum ini, melaksanakan model baharu penajaan dalam bentuk Pinjaman Boleh Ubah (PBU) Berasaskan Tempat Berkhidmat supaya program penajaan seumpama ini dapat memberi pulangan pelaburan dalam bentuk modal insan kepada negara.

"Ia adalah antara usaha mengurangkan masalah membabitkan graduan tajaan kerajaan yang bekerja di luar negara, mulai 2016," katanya menjawab soalan asal Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) mengenai usaha kerajaan mengatasi isu itu.

Dr Zaliha berkata, tiada pengurangan bilangan pilihan IPTS yang ditawarkan oleh biasiswa JPA-Program Khas Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia Dalam Negara (LPSM) 2024 seperti didakwa.

Menerusi LPSM Tahun 2024, katanya, disyaratkan supaya institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) disenaraikan perlu dikategorikan sebagai Kategori Berdaya Saing di bawah Penarafan Sistem Penarafan Institusi Pengajian Tinggi Negara (SETARA) 2022.

"Ia juga tersenarai dalam Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking Tahun 2024 mengikut kedudukan secara keseluruhan atau mengikut bidang.

"Bagi memastikan program ditawarkan IPTA dan IPTS kekal berkualiti dan menepati kehendak semasa, Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah membangunkan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) dan dokumen jaminan kualiti sebagai rujukan piawaian dan panduan membangunkan program berkualiti.

"MQA akan melaksanakan semakan kualiti terhadap program di IPT secara berkala antara tiga hingga lima tahun supaya program ditawarkan adalah relevan dengan keperluan semasa majikan dan industri," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Julai 2024 @ 12:46 PM