AHMAD Idham. FOTO Arkib NSTP
AHMAD Idham. FOTO Arkib NSTP
Nurul Sabrina Jamali

Kuala Lumpur: Pengarah, penerbit dan pelakon, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 49, menganggap pemecatan 24 jam bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas), Prof Dr Md Nasir Ibrahim sebagai tindakan tidak adil dan kejam. 

Katanya, tindakan drastik itu dibuat secara mendadak tanpa sebarang penjelasan serta tidak mengikut prosedur yang betul. 

"Seorang CEO tidak boleh diberhentikan serta merta tanpa alasan kukuh dan perlu ada proses yang benar iaitu, mereka seharusnya memberi tempoh 'rehat' kepada Md Nasir dan siasat dengan teliti, kemudian barulah tindakan diambil. 

"Jika pemecatan 24 jam ini kerana masalah prestasi, dia perlu dinasihatkan terlebih dahulu dan diberi peluang untuk memperbaiki pencapaiannya. 

"Saya cukup simpati dan menyifatkan tindakan ini adalah satu penganiayaan kepada Md Nasir apabila dimaklumkan Mad Nasir ingin mengosongkan pejabat pun tidak sempat, apatah lagi hendak menyediakan nota serah tugas sebelum meletakkan jawatannya," katanya ketika ditemui di Majlis pelancaran Single Amer Munawer, di Strand Mall, Kota Damansara. 

Dalam pada itu, pengarah filem drama Cinderella itu meluahkan kebimbangan sekiranya Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil menerima nasihat yang salah dari pihak tertentu sehingga mendorong kepada tindakannya menyokong pemecatan Md Nasir

"Saya tidak rasa sebagai seorang menteri, beliau akan setuju untuk membuat keputusan drastik ini melainkan ada pihak yang membatu apikannya.

"Saya juga difahamkan Md Nasir membuat permintaan untuk berjumpa dengan beliau, namun Fahmi mengabaikannya sedangkan Md Nasir mendekatinya dengan cara paling berhemah," katanya. 

Sementara itu, Ahmad Idham turut menjelas jika benar Menteri Komunikasi Digital itu salah menerima nasihat, mungkin beliau akan membuat lebih banyak kesalahan pada masa akan datang dan menjadi satu peristiwa yang tidak sihat. 

"Terlalu banyak perkara yang tidak jelas dalam isu ini dan bagi saya, tindakan memecat Md Nasir adalah kejam," katanya.  

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 2:40 PM