Prof Dr Md Nasir Ibrahim
Prof Dr Md Nasir Ibrahim
Norhayati Nordin


Ampang: "Saya nak berehat dulu sebab dah penat sangat bekerja sebelum ini. Saya kerja tanpa had waktu dan hari demi memartabat industri perfileman negara," kata bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Prof Dr Md Nasir Ibrahim, 64.

Semalam, Md Nasir ditemui media pada sidang media khas diadakannya di sebuah hotel di sini, berhubung pemecatan beliau dalam tempoh 24 jam sebagai CEO Finas dan mendakwa tanpa alasan.

Md Nasir yang lebih 30 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam berkata, dia sudah memberikan sumbangan perkhidmatan terbaik di Finas selama menggalas kontrak jawatan CEO itu kira-kira setahun tujuh bulan.

"Sekarang saya ingin berehat sehingga hilang penat bekerja yang dilakukan selama ini. Sebab komited dengan tanggungjawab, pada waktu cuti pun saya kadang-kadang bekerja juga dengan menghadiri majlis pelancaran dan tak berkira masa rehat.

"Apapun, saya gembira dengan pencapaian besar dibawa bersama Finas. Antaranya, saya berjaya menarik penerbit dari luar negara dan tempatan melalui Film In Malaysia Incentive (FIMI) yang mengaut kira-kira RM1.04 bilion.

"Saya juga memastikan usaha-usaha kelola tadbir pegawai Finas dilaksana dengan penuh integriti, bertanggungjawab dan berkesan menjadi keutamaan. Termasuk, mengesan ketirisan dana Finas untuk projek filem yang gagal dari 2015 hingga 2019 oleh 47 syarikat dan individu bernilai RM22 juta," katanya.

Md Nasir berkata, walaupun kini tidak mempunyai jawatan dalam agensi itu, beliau tetap sedia

bekerjasama dengan mana-mana pihak lain untuk kemajuan industri perfileman negara.

"Saya amat berbesar hati untuk terus memberi sumbangan saya kepada industri. Saya sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak untuk bersama-sama memartabatkan karya filem tanah air," katanya.

Terdahulu, Md Nasir yang juga bapa pelakon Anzalna dan Afifah Nasir dilantik sebagai CEO Finas pada 31 Oktober 2021 bagi tempoh dua tahun yang berkuat kuasa mulai 1 November tahun itu sehingga 30 Oktober 2023.

Kontrak perkhidmatan Md Nasir di Finas berbaki kira-kira lima bulan lagi sebelum tamat secara rasmi pada hujung Oktober depan, namun dipendekkan lebih awal berkuat kuasa semalam.

Pelantikan Md Nasir ketika itu menggantikan Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang menyandang jawatan berkenaan selepas kontraknya berakhir pada 15 Oktober 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2023 @ 1:07 PM