Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam: Isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri akan meneruskan kehidupannya dan merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah.

Shuhada, 29, ketika ditemui berkata, dia akan mengejar cita-citanya dan meneruskan kehidupan bersama anak-anak.

"Selepas ini, saya akan sambung belajar, mencari ilmu dan akan mengejar cita-cita saya.

"Saya tak mahu terus terperuk, tetapi nak lebarkan sayap saya dan terbang tinggi. Saya nak sambung ke peringkat ijazah, tapi, semuanya masih dalam perancangan," katanya kepada Harian Metro.

Selain itu, Shuhada juga memaklumkan bahawa dia akan memulakan semula perniagaan di samping ada beberapa tawaran kerja.

"Untuk perniagaan, saya akan mulakan semula. Saya nak tinggalkan segala kesedihan dan mulakan hidup baharu. Untuk tawaran kerja, banyak juga yang saya terima. Tetapi, semuanya masih dalam perancangan," katanya.

Menyentuh mengenai kehidupan dan situasi rumah tangganya yang penuh dengan dugaan, Shuhada menganggap semua takdir itu sudah tertulis buatnya.

"Semua takdir ini sudah ditulis Allah untuk saya dan anak-anak. Saya terima dengan hati terbuka bahawa semuanya hak Allah. Allah bagi kepada saya dan anak-anak, dan sekarang, dia nak ambil balik. Saya dah bersedia.

"Saya serahkan kepada Allah. Hidup kita ini penuh dengan kejutan dan ini adalah benar-benar kejutan buat saya.

"Semua yang berlaku, atas pilihan yang dibuat Hafidz. Dia yang pilih semua ini. Harapan saya, agar semuanya dapat berakhir dengan baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 2:53 PM