Syafil Syazwan Jefri


Shah Alam: "(Kalau mereka nak kahwin) saya serahkan segalanya kepada Allah. Allah janji, pembalasan-Nya lebih pedih."

Demikian kata isteri pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri ketika ditanya mengenai khabar angin kononnya Hafidz bakal berumah tangga dengan wanita yang didakwa menjadi orang ketiga dalam rumah tangga mereka.

Shuhada, 29, ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah di sini berkata, dia juga tidak mahu perkara itu mengganggu mental dan emosi anak-anaknya.

"Untuk anak-anak berjumpa bakal ibu tiri, itu semua atas kehendak anak-anak sendiri sebab mereka memang menentang perkara ini.

"Saya tak mahu mengganggu emosi dan mental anak-anak. Cukuplah saya yang hadap semua ini," katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai penjagaan anak-anaknya, Humairah dan Umar, kedua-dua mereka akan dijaga oleh Shuhada di kampung halamannya di Perlis.

"Anak-anak akan dibesarkan oleh saya di Perlis. Kalau Hafidz nak berjumpa anak-anak, dia boleh ke Perlis," katanya.

Diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak yang menganggapnya tidak dapat 'move on', Shuhada menjelaskan bahawa ia bukan berkaitan perasaannya terhadap Hafidz.

"Kalau bercakap mengenai 'move on', dari segi apa? Sebenarnya, bukanlah saya nak kembali kepada dia. Bila Allah uji dan tegur hati kita, Allah pinjamkan kebahagiaan dan ambil semula, jadi, 'move on' untuk saya adalah antara saya dan ujian Allah itu.

"Insya-Allah, ia akan berlaku, tetapi akan mengambil sedikit masa. Bukanlah saya tak boleh 'move on' daripada dia atau apa," katanya.

Shuhada dan Hafidz hari ini hadir ke mahkamah untuk prosiding pengesahan lafaz talak, namun, keputusan itu ditunda ke tarikh 27 Julai depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2023 @ 2:41 PM
SHUHADA Mat Shukri hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi perbicaraan dan keputusan lafaz cerai terhadap suaminya, Hafidz Rosdi. FOTO Faiz Anuar
SHUHADA Mat Shukri hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam bagi perbicaraan dan keputusan lafaz cerai terhadap suaminya, Hafidz Rosdi. FOTO Faiz Anuar