Syafil Syazwan Jefri

 

Shah Alam : "Saya memang tak ada sorokkan apa-apa daripada anak-anak," kata bekas isteri kepada pelakon Hafidz Roshdi, Nurul Shuhada Mat Shukri ketika ditanya, bagaimana dia akan menjelaskan kepada dua cahaya matanya, Humairah dan Umar mengenai berita perceraian mereka. 

Shuhada, 29, berkata, anak sulungnya, Humairah, 6, mula memahami situasi yang berlaku antara kedua-dua ibu bapanya. 

"Saya dah jelaskan kepada Humairah bahawa ibu dan abah dah berpisah. Kalau orang bertanya kepada dia pun, dia jelaskan perkara sama. 

"Katanya, Allah dah tulis begitu dan Allah mesti akan ganti dengan yang lebih hebat," katanya. 

Ditanya sama dia akan berhubung sebagai sahabat dengan bekas suaminya, Shuhada berkata, mereka akan berhubung untuk anak-anak. 

"Untuk berkawan baik, tak mungkinlah. Sebagai bapa kepada anak-anak, Insya-Allah, kami boleh berhubung untuk mereka. Kalau nak berkawan, nanti ada orang marah," katanya. 

Berkongsi mengenai tawaran lakonan, Shuhada berkata, dia terpaksa menolak tawaran-tawaran itu kerana jiwanya bukanlah dalam bidang seni.

Nurul Shuhada Mat Shukri hadir  di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam selepas pengesahan lafaz cerai terhadap suaminya, Hafidz Rosdi. FOTO AIZ ANUAR
Nurul Shuhada Mat Shukri hadir di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam selepas pengesahan lafaz cerai terhadap suaminya, Hafidz Rosdi. FOTO AIZ ANUAR

"Tawaran untuk berlakon memang ada. Tapi, bagi saya, itu bukan jiwa saya dan saya rasa, saya tak layak untuk berlakon. Terima kasih kepada mereka yang tawarkan kerja kepada saya sebab saya tahu, semuanya nak bantu saya untuk teruskan kehidupan. 

"Alhamdulillah, Allah beri rezeki kepada saya sebesar laut," katanya. 

Hari ini, Hafidz dan Shuhada bercerai dengan talak satu selepas Hakim Syarie, Siti Rahmah Hussin membacakan keputusan mahkamah, bahawa lafaz cerai yang dibuat pada 22 Februari lalu adalah sah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Julai 2023 @ 12:13 PM