Nurul Shuhada Mat Shukri.
Nurul Shuhada Mat Shukri.
Ridzuan Abdul Rahman


Kuala Lumpur: "Saya akui, ujian Allah kali ini sangat berat. Allah dah tulis takdir hidup saya dan anak-anak. Sehebat dan seberat mana pun ujian buat saya dan anak-anak, saya tak boleh lari.

"Saya kena lalui perit sakit semua itu, saya ditumbuk dan dikhianati. Saya ditipu dan dipermainkan dengan nama Allah (dia bersumpah itu ini), sedangkan adiknya sendiri bersubahat dan sebagainya."

Demikian pendedahan Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, isteri pelakon kontroversi, Hafidz Roshdi, 29, berkenaan situasi yang dilaluinya.

Menerusi coretan di Instagram Story (IGs), hari ini, Nurul Shuhada yang turut memuat naik foto pipinya yang berlumuran darah akibat kecederaan yang dilalui, baru-baru ini, meminta orang ramai terus mendoakannya diberi kekuatan untuk menempuh ujian rumah tangga yang dihadapi.

"Dia juga berharap diberi kemudahan untuk menempuh setiap ujian bersama anak-anaknya.

"Rasanya jiwa saya dah rabak, hati dah remuk. Saya tahu Allah tengah hulurkan tangan buat saya untuk keluar daripada penderitaan, hubungan dan keluarga toksik ini. Mohon doakan saya dan anak-anak kuat.

"Kami nak berjaya lalui ujian Allah ini dengan cemerlang, insya-Allah. Saya takkan pernah lupa semua yang mendoakan saya dan anak-anak dengan doa yang baik, terima kasih," tulisnya.

Kemelut rumah tangga Nurul Shuhada semakin kronik apabila keluarganya mengesahkan dia ditumbuk tiga kali oleh pelakon terbabit selepas berlaku pertengkaran.

Mereka mendakwa, Hafidz menumbuk pada bahagian muka Nurul Shuhada sehingga cedera.

Dalam perkembangan berkaitan, polis akan memanggil Hafidz yang dilaporkan menumbuk isteri dalam kejadian di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Buloh, awal pagi Khamis lalu.

Sebelum ini, polis sudah mengambil keterangan Nurul Shuhada selepas hadir ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, bagi memberi keterangan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Polis Kontinjen Selangor.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata mangsa berusia 29 tahun hadir ke IPK Selangor untuk memberi keterangan selepas dipanggil untuk hadir bagi membolehkan siasatan dibuat sebelum sebarang tindakan diputuskan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 12:12 PM