2BY2 bakal mengadakan konsert khas buat peminat.
2BY2 bakal mengadakan konsert khas buat peminat.
Ridzuan Abdul Rahman


SEPERTI mengimbau nostalgia. Itu yang berlaku apabila tiga anggota kumpulan 2By2 iaitu Zul, Faizal dan Man berkumpul ketika pelancaran medan selera Dangau 2By2 di Kampung Melayu Subang, Selangor baru-baru ini.

Dangau 2By2 yang dikendalikan Zul dan Faizal ini menjadi medan untuk peminat yang pernah menggilai lagu nyanyian mereka, Kau Mawarku secara berduet dengan Siti Nurhaliza sekitar 1996 bertemu mereka.

Zul berkata, 2By2 tidak pernah berpecah, namun mendiamkan diri kerana komitmen masing-masing.

"Ketika itu saya bekerja dengan SRC, Faizal dengan kerjanya, manakala Man pula bekerja di Singapura. Jadi, kami dikira tak aktif waktu itu. Buat masa ini pun kami masing-masing ada komitmen sendiri.

"Saya dan Faizal tumpu pada bisnes pula, manakala Man kekal bekerja di Singapura dan aktif menyanyi dalam majlis tertentu. Sebenarnya kami ada perancangan untuk buat kemunculan semula selepas lebih 25 tahun terbabit dalam dunia seni.

"Mungkin ada kemunculan istimewa atau konsert istimewa kecil-kecilan. Mungkin akan ada konsert akustik 2By2 di mana kami akan jemput artis wanita yang pernah berduet bersama kami. Ia masih dalam perancangan," katanya.

Mengulas lanjut, Zul tidak berselindung akan menjemput semua artis wanita yang pernah berduet bersama mereka tidak terkecuali penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

"Bergantung kepada Siti. Jika dia okey kami setuju saja. Memandangkan Siti pun sibuk dan dia ada perancangan sendiri, kami tak kisah sekiranya dia tak dapat ikut serta.

"Tapi, ada ramai artis wanita yang berduet dengan kami antaranya Liza Hanim, Anis Suraya dan Mazleela. Jika ada rezeki ia akan jadi kenyataan," katanya.

Bercerita mengenai Danau 2By2, Zul berkata, selain menjadi sumber rezeki tambahan buat mereka, ia juga menjadi lokasi untuk mencungkil bakat baharu dalam nyanyian menerusi pertandingan yang diadakan.

"Dengan pengalaman yang saya miliki, saya mahu berkongsi peluang dengan mereka yang berbakat untuk mencuba nasib dalam bidang seni.

"Pemenang bakal mendapat sebuah lagu baru ciptaan saya," katanya.

Difahamkan, seramai 80 orang sudah mencuba nasib dalam pertandingan karaoke dan 14 daripadanya layak ke pentas akhir.

Danau 2By2 mempunyai 28 gerai, tetapi sekarang hanya 13 yang baru beroperasi. Ia dibuka pada setiap hari bermula pada jam 6.30 petang hingga 12 tengah malam.

"Dangau 2By2 menawarkan pelbagai jenis menu lazat dengan konsep santai termasuk ruang duduk bersila turut disediakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 6:45 AM