INTAN MAYA (tiga dari kanan) dan Zul (empat dari kanan) bersama peniaga gerai di Dangau 2By2.
INTAN MAYA (tiga dari kanan) dan Zul (empat dari kanan) bersama peniaga gerai di Dangau 2By2.
Ridzuan Abdul Rahman


PENYANYI Intan Maya, 40, yang juga isteri komposer Zul 2By2 mendedahkan suaminya tidak terlepas digoda wanita yang kini sinonim dengan gelaran 'penyondol' yang mahu menagih kasih.

Bekas anggota kumpulan The Girls ini berkata, mereka melakukan pelbagai taktik untuk menggoda suaminya seperti menghantar mesej menerusi media sosial.

"Mereka tak tahu, Instagram dan Facebook abang Zul saya yang jaga. Jadi, kalau mereka nak tuduh suami saya yang berbalas mesej dengan mereka, memang silap. Sebenarnya saya yang balas.

"Tak dinafikan ada ramai perempuan mesej. Ada yang mengaku peminat dari negara jiran dan nak jumpa di Bukit Bintang sebab nak bagi hadiah. Apa salahnya kalau betul peminat dia, pos sahaja.

"Paling tak boleh diterima, dia kata nak jumpa abang Zul seorang diri dan jangan bawa saya. Kenapa nak jumpa suami saya seorang diri? Nasib baik saya yang balas. Mereka belum kenal siapa saya. Ada juga yang hantar gambar lucah," katanya.

Intan Maya yang berkahwin dengan Zul pada 22 Februari tahun lalu kini membantu suaminya menguruskan 'food court' Dangau 2By2 di Kampung Melayu Subang, Selangor.

Perniagaan ini turut dikongsi bersama seorang lagi anggota 2By2 iaitu Faizal.

Dangau 2By2 mempunyai 13 gerai makanan dan bakal mempunyai beberapa gerai yang lain dalam masa terdekat.

INTAN Maya bantu suami, Zul (dua dari kanan) menguruskan perniagaan makanan di Dangau 2By2.
INTAN Maya bantu suami, Zul (dua dari kanan) menguruskan perniagaan makanan di Dangau 2By2.

Antara gerai jualan yang sudah dibuka adalah gerai ikan bakar, aneka makanan barat, lontong kering, bihun sup, sate, masakan kampung, kari kambing dan banyak lagi.

Dalam masa sama, Intan Maya mengakui gangguan sihir dalam rumah tangga mereka masih berterusan sehingga kini.

"Setiap kali nak masuk Asar saya rasa berat di bahagian leher. Saya beritahu abang Zul dan dia bawa pergi klinik dan doktor bagi ubat. Saya tak nak makan ubat, tapi doktor paksa juga. Malah, doktor siap bagi suntikan lagi, tapi sakit saya tak juga hilang. Sampai azan Subuh baru hilang. Takkan saya nak menanggung sakit setiap hari.

"Saya selalu mimpi pelik-pelik, didatangi perempuan, katanya kau tahulah nasib kau. Aku akan buat kau sampai cerai-berai.

"Saya buat solat hajat, istikharah dan semua. Saya cuba tanya abang Zul mungkin dia ada peminat yang tak diketahui. Dia cakap dia pun tak pasti. Tapi, dia minta saya abaikan sahaja 'benda-benda' ini," katanya.

Ini adalah perkahwinan kedua mereka selepas menempuhi kegagalan dalam perkahwinan terdahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Jun 2023 @ 6:30 AM