Taufiq Hanafi
Taufiq Hanafi
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: "Ini sesuatu yang sangat berat!." Demikian kata pelakon, Taufiq Hanafi selepas namanya terpalit dengan kontroversi dan didakwa menjadi 'kaki kikis' kepada wanita.

Taufiq, 33, ketika ditemui di Malam Gala Filem Siapa Buka Lampu berkata, fitnah itu terlalu berat kerana ia turut mengganggu keluarga terutama ibu bapanya.

"Benda itu memang sangat berat untuk saya sebab membabitkan keluarga. Sampaikan, apabila ayah saya hubungi dan tanya saya tak ada duit sangatkah, memang ia mengejutkan," katanya.

Menurut Taufiq, dia juga tidak tahu bagaimana kontroversi itu boleh timbul dan sedikit sebanyak, sebagai anak seni yang mencari rezeki dalam industri, perkara itu mengganggu reputasinya.

"Risau sebab saya mencari rezeki dalam industri. Kalau ada benda yang tidak benar dan satu kesalahan, tentunya akan beri kesan kepada reputasi saya. Saya kalau boleh, tak perlulah benda-benda begitu.

"Bak kata orang, bila ada sesuatu yang kita lakukan tak enak di mana mana-mana individu, mulalah ada sesuatu yang mereka lakukan," katanya.

Taufiq bagaimanapun enggan terlalu memikirkan mengenai isu itu kerana tidak mahu bertindak mengikut emosi.

"Ia tidak menghantui, tapi bila saya muat naik sesuatu di media sosial berkaitan kerja, akan ada komen-komen tak menarik.

"Buat apa nak tambahkan minyak ke dalam api. Jadi, saya diam sahaja daripada bertindak mengikut emosi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 2:38 PM