Vikneswary, nafi tuduhan sengaja lupuskan wayar kabel tembaga milik TM bernilai RM100,000, bulan lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Vikneswary, nafi tuduhan sengaja lupuskan wayar kabel tembaga milik TM bernilai RM100,000, bulan lalu. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Pengurus syarikat barangan lusuh dituduh di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini kerana melupuskan wayar kabel tembaga milik Telekom Malaysia (TM) bernilai RM100,000, bulan lalu.

Tertuduh, MB Vikneswary, 38, bagaimanapun tidak mengaku bersalah terhadap pertuduhan dalam prosiding di hadapan Majistret Nabilah Nizam.

Berdasarkan pertuduhan, wanita itu didakwa dengan sengaja melupuskan harta wayar kabel tembaga milik TM bernilai RM100,000 dengan mempunyai sebab untuk mempercayai ia adalah harta curi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam daerah Melaka Tengah kira-kira 3 petang pada 15 Mei lalu.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri yang menawarkan jaminan RM8,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Peguam Gaithri Thomas yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya menanggung dua anak yang bersekolah serta ibu yang menghidap penyakit diabetes serta darah tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan sementara menunggu perbicaraan selesai dengan jaminan RM3,000 berserta seorang penjamin dan menetapkan 22 Ogos depan untuk serahan dokumen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 2:35 PM