GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Ahmad Hasbi


Seremban: Dua individu masing-masing didenda RM50,000 di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas kesalahan memiliki 43,069 liter diesel tanpa lesen, dua tahun lalu.

Tertuduh, Liew Vi Hong, 25, dan Kong Wai Loon, 31, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mazni Mawi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama-sama didapati ada dalam kawalan barang kawalan berjadual iaitu diesel sebanyak 43,069 liter dalam keadaan menimbulkan syak - berurusan dengan diesel secara borong tanpa lesen.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Lombong Emas 1, Taman Perindustrian Ringan Seremban, di sini, pada 9.58 malam November 2022.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Nor Alimah Mohd Sanusi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM50,000 setiap seorang atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Julai 2024 @ 2:42 PM