SAIDA.
SAIDA.
Oleh Wahi Aziz


Selepas hampir lima tahun menjalani kehidupan sebagai ibu tunggal, penyanyi dan usahawan, Saida akhirnya membuka mulut mengesahkan dirinya sudah ada pengganti.

Berkongsi khabar gembira itu, pemilik nama penuh Siti Norsaida Tarudin, 40, ini berkata, dia sudah bersedia menggalas tanggungjawab sebagai isteri.

Pun begitu tegasnya, dia belum bersedia mendedahkan identiti kekasihnya dan perancangan mendirikan rumah tangga.

“Terfikir juga sampai bila saya mahu membujang. Perancangan ke arah itu (kahwin) memang ada, tapi kami berserah pada ketentuan.

“Insya-Allah, majlis berlangsung pada tahun ini cuma tarikhnya belum tahu lagi,” katanya pada sidang media Mega Bazaar Hijra 2016, baru-baru ini.

Saida yang juga bekas peserta Akademi Fantasia musim keenam mendirikan rumah tangga dengan Mohd Ghazali Yahya Zikri pada 14 Disember 1996 namun bercerai pada 7 Oktober 2011.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata, Siti Nurunnyssa, 19, Anas, 17, Khalid, 13, dan Siti Nurul Mashitah, 10 tahun.

Sekitar dua tahun lalu, timbul ura-ura mengatakan kakak kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza itu menjalin hubungan dengan lelaki berstatus duda.

Mengulas perkembangan kerjaya, Saida berkata, dia akan tampil dengan single terbaru berjudul Setia. Menerusi lagu itu dia berduet dengan Maya (Matahari).

Menurutnya, idea bekerjsama dengan dengan Maya timbul ketika mereka sama-sama menjayakan persembahan majlis anjuran Datuk AC Mizal.

“Sejak itu kami selalu terima tawaran menyanyi bersama. Lama-kelamaan kami jadi serasi dan terfikir untuk hasilkan single secara berduet.

“Single ini ciptaan Adi Sixth Sense. Lagu sudah siap dirakam cuma tinggal video muzik.

“Saya dan Maya kini cari masa sesuai untuk menjalani penggambaran video muzik kerana masing-masing sibuk,” katanya.

Sambung Saida, dia dan Maya bukan sahaja berkolaborasi menerusi lagu, malah mereka rakan kongsi yang mengusahakan perniagaan ‘online’, SMCloseUp.

“Saya jual koleksi tudung manakala Maya pula koleksinya sendiri. Kami serasi bersama,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Saida antara selebriti yang akan berniaga di Mega Bazar Hijra 2016 yang berlangsung pada 13 dan 14 Februari depan di Mid Valley Exhibition Centre (MVEC), Kuala Lumpur.

Artis lain yang turut serta adalah Encik Mimpi, Khai dan Rosma, Aiman Rahman, Siti Nordiana, Eira Syazira serta Azad Jazmin, Siti Saerah dan Nubhan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 January 2016 @ 10:52 AM