Fesyen turban Aina yang dikecam netizen ketika menjadi juri minggu kedua, Big Stage musim kelima, malam semalam.
Fesyen turban Aina yang dikecam netizen ketika menjadi juri minggu kedua, Big Stage musim kelima, malam semalam.
Ramlah Zainal


Bangsar: "Saya sudah lali dengan kecaman netizen dan menganggap diri ini seperti baju kalis peluru," kata penyanyi popular, Aina Abdul.

Aina berkata demikian ketika mengulas penampilannya dengan imej turban yang digayakan pada minggu kedua sebagai juri tetap program realiti, Big Stage musim kelima yang mendapat kecaman dari netizen.

Menurut Aina, penampilannya sebagai juri tetap dalam program Big Stage musim terbaharu itu juga ada matlamat tersendiri.

"Saya anggap menjadi juri di pentas Big Stage adalah peluang keemasan untuk meninggalkan kesan dan impak positif pada program itu.

"Sebagai juri, saya hanya duduk. Sebab itu penampilan dan imej saya penting untuk memberi impak kepada penonton," katanya kepada Harian Metro.

Aina diemui pada majlis sambutan Aidilfitri Media Prima Berhad (MPB) yang berlangsung di sini, petang tadi.

Mengulas penampilannya dalam Big Stage itu lagi, kata Aina, pada mulanya turban yang digayakannya itu lebih tinggi tetapi terpaksa dipotong sedikit untuk keselesaan.

"Bila saya mencuba turban itu, saya percaya bukan saja netizen, malah penerbit program pun akan kecam sebab itu kami potong sedikit.

"Saya akui turban yang digayakan itu berat kerana selepas peserta kelapan mengadakan persembahan, saya mula rasa tidak selesa dan sakit kepala," katanya.

Bagaimanapun, kata Aina, dia memang mengadakan perbincangan dengan penata gayanya pada setiap minggu membabitkan imej yang ingin ditampilkan.

"Penata gaya saya memang gila-gila orangnya dan saya pula memang suka berkarya.

"Tema kami setiap minggu adalah ' Aina Abdul' dan kami akan beri visual pada netizen sana ada mereka suka atau tidak dengan imej dan penampilan yang ditampilkan itu.

"Kami banyak mengambil inspirasi daripada model dari Afrika Selatan, budaya dari Nigeria dan Sudan kerana fesyen mereka unik dan menarik," katanya.

Terdahulu, imej dan penampilan Aina ketika menjadi juri tetap minggu kedua program Big Stage musim kelima mendapat kecaman teruk daripada netizen.

Menerusi tinjauan di media sosial Aina, rata-rata netizen mengkritik penampilan turban yang digayakannya kerana mengganggu pandangan penonton di belakang.

Tidak kurang juga ada netizen yang menganggap turban digayakan Aina itu seperti ketumbuhan di kepala.

 

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2023 @ 4:09 PM