Penyanyi, Aina Abdul pada sidang media A Night With Aina Abdul live in Singapore pada Januari 2024, di Menara Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Penyanyi, Aina Abdul pada sidang media A Night With Aina Abdul live in Singapore pada Januari 2024, di Menara Kuala Lumpur. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Aina Abdul, 30, menyimpan impian untuk membuka galeri bagi mempamerkan pakaian yang pernah digayakan sepanjang menjalani karier sebagai penyanyi.

Aina berkata, semua pakaian itu tidak diusik atau diperbaiki dan berada dalam keadaan seperti mana selepas kali terakhir dia menggayakannya.

"Satu hari nanti, saya nak ada galeri sendiri sebab saya pun dah berhabis ribuan Ringgit untuk pakaian-pakaian itu. Jadi, mungkin boleh lakukan sesuatu yang menarik.

"Ada yang ikonik. Contohnya yang saya pakai di AJL (Anugerah Juara Lagu) dan ABPBH (Anugerah Bintang Popular BH) memang tak diperbaiki. Macam mana saya tinggalkan, begitulah keadaannya," katanya.

Menurut Aina, dia juga membuat keputusan untuk tidak mencuci semua pakaian yang sudah mencecah lebih 200 pasang dalam koleksinya itu.

"Ada sebahagiannya dalam simpanan penata gaya, Abu dan ada sebahagiannya lagi dalam simpanan saya. Secara keseluruhannya semua pakaian yang kami letakkan di Axiata Arena tempoh hari, ada lebih 100 pasang.

"Itu pun tak semua dimasukkan sebab ada lebih dari itu. Rasanya, saya dah ada lebih 200 pasang semuanya.

"Saya takkan jual sebab itu adalah kenangan dan pakaian itu semuanya tak dicuci. Nak tinggalkan nilai sentimental kepada pakaian itu. Bagi saya, semua itu 'hidup'.

"Semua koleksi itu adalah dari awal kemunculan saya yang 'pelik-pelik' termasuklah gaun 'darah' (yang dipakai ketika mempersembahkan lagu Semalam di Anugerah Juara Lagu 35)," katanya.

Aina ditemui di majlis sidang media A Night with Aina Abdul Live in Singapore yang juga menandakan permulaan langkahnya untuk melebarkan sayap seninya ke luar negara.

Konsert A Night with Aina Abdul Live in Singapore akan berlangsung pada 6 Januari tahun depan di The Theatre @Mediacorp, Singapura.

Tiket untuk acara konsert itu akan mula dibuka untuk pembelian bermula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2023 @ 1:25 PM