Aina Abdul
Aina Abdul

Kuala Lumpur: "Tak kisah pakai apa tapi jangan tutup pemandangan orang belakang," kata seorang pengikut di Instagram Aina Abdul sebaik penyanyi itu mengumumkan tema pakaian bagi konsert Aina Abdul 3.0 yang bakal diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini, esok.

Aina menerusi satu perkongsian baru-baru ini memberitahu 'dress code' atau tema pakaian pada konsert kali ini adalah bertemakan 'Aina Abdul'.

Melihat maklum balas yang diberikan pengikut, rata-rata begitu teruja untuk bereksperimentasi dan membuat pilihan terbaik pakaian yang ingin digayakan esok.

Bagaimanapun, terdapat juga komen yang berharap pakaian dikenakan tidak menghalang penglihatan orang lain untuk menyaksikan konsert artis kegemaran mereka.

"Saya pulak yang risau dan tak sabar nak tengok pakaian masing-masing.

"Apa yang penting orang belakang dapat tengok pentas ye.

"Kau tutup pemandangan aku siap. Pendek rambut palsu orang depan aku," kata beberapa pengikut di ruangan komen.

Sebelum ini, Aina sentiasa memukau dengan gaya pemakaian yang adakalanya tidak tercapai dek akal.

Boleh dikatakan, pelantun lagu Terus Hidup itu sering muncul dengan busana unik, selain berjaya mengheret lensa kamera untuk terus terpacu ke arahnya sekali gus menjadi topik utama yang dibualkan netizen dalam media sosial.

Biarpun menerima pelbagai kecaman, Aina tetap tenang menjawab segala kritikan yang dilemparkan terhadapnya sebelum ini.

Namun, menerusi konsert Aina Abdul esok, terdapat juga peminat yang menjelaskan maksud sebenar tema pakaian Aina Abdul itu.

"Aina pernah cakap tema 'Aina Abdul' ini bukan bermaksud kena pakai pelik atau lain daripada lain.

"Boleh saja menjadi diri sendiri seperti pakaian baju 'baggy' atau apa-apa saja yang selesa sebab Aina berfesyen pun ikut keselesaan dia. Sebenarnya tema dia luas," kata seorang netizen yang mempertahankan maksud sebenar tema yang diberikan.

Difahamkan lebih 10,000 peminat bakal menghadiri konsert berskala mega yang akan diadakan esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2023 @ 2:44 PM