AINA ABDUL
AINA ABDUL
Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Saya bukan 'mangsa fesyen', tapi ia atas persetujuan," kata penyanyi Aina Abdul, 28, menjawab mengenai pakaian digayakannya di Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35), malam tadi yang menjadi bualan netizen.

Aina yang mengenakan 'dress' labuh kembang berwarna hitam dengan topi besar itu 'disamakan' netizen seperti payung terjun, bungkusan kuih almond London dan pelbagai benda lain lagi.

Aina berkata, setiap pakaian digayakan dalam apa saja majlis persembahan atau acara hiburan dihadiri adalah atas pilihannya selepas perbincangan bersama penata gaya dan pereka fesyen.

"Penata gaya dan pereka fesyen saya tidak buat keputusan sendiri melainkan selepas mendapat persetujuan saya. Lagipun, mereka faham dan tahu rekaan macam mana yang saya suka.

"Saya seorang yang rumit dan suka idea luar biasa termasuk suka juga benda pelik. Jadi, apabila netizen beri perhatian pada pakaian saya itu, saya bersyukur dan ucapkan terima kasih," katanya kepada Harian Metro.

Aina berkata, sejak bergelar penyanyi tujuh tahun lalu, sasarannya adalah mahu lebih dikenali menerusi bakat dan produk lagu termasuk fesyen.

Katanya, sebab itu dia berani dan sanggup mencuba apa saja idea fesyen yang pelik atau luar biasa.

"Apabila pakaian saya jadi perhatian dan dibincangkan netizen di media sosial serta dikritik, saya okay saja. Tak kecil hati pun dengan mereka. Ini kerana mereka yang banyak membantu kerjaya saya. Walaupun kritikan ditulis mereka agak pedas, tapi apabila selalu dibicarakan di media sosial walaupun fesyen, itu bermakna saya ada dalam industri muzik ini.

"Saya akur dengan 'kuasa netizen' dan terima apa saja yang dibahaskan mereka di media sosial. Ditambah, saya sekarang 'membesar' dalam suasana media sosial," katanya.

Mengulas mengenai pakaian itu, Aina berkata, ia hasil rekaan Wan dan Marry yang memang diinspirasikan daripada payung terjun.

Katanya, cetusan ilham rekaan itu juga hasil daripada kisah jalan cerita yang ada dalam lirik lagu Semalam hasil ciptaan sepenuhnya oleh Aina.

Pada AJL35 itu, Aina yang mempertandingkan lagu Semalam muncul naib juara dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM35,000 dan trofi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 4:19 PM