Haqiem Rusli bersama isteri.
Haqiem Rusli bersama isteri.
Zaara Talita

 

Kuala Lumpur: "Pengalaman menyambut Ramadan apabila bergelar suami adalah satu perasaan luar biasa dan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata".

Itu kata penyanyi dan komposer Haqiem Rusli apabila berkongsi perasaan teruja menyambut bulan mulia dengan kehadiran isteri, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri, 20, di sisinya.

Biarpun membuat keputusan mendirikan rumah tangga ketika kerjaya seni berada di puncak, pemenang kategori Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi pada Anugerah Bintang Popular BH ke-34 (ABPBH 34) itu menjelaskan hidupnya lengkap dengan kehadiran Sofea. 

"Apa yang saya alami ini membuatkan rasa sangat bahagia. Ada bezanya dulu saya berbuka puasa dengan keluarga, namun kini pengalaman itu dilalui dengan isteri pula. 

"Malah, kami juga turut mengambil peluang ini untuk berbuka bersama keluarga masing-masing. Kadang-kadang saya memasak, ada masanya Sofea memasak dan ada ketikanya kami bersama-sama memasak.

"Jika malas masak dan sebagainya, makan di luar saja. Jadi, berpuasa selepas bergelar suami ini memang berbeza dibandingkan ketika bujang dulu," katanya kepada Harian Metro.

Haqiem yang popular menerusi lagu Mimpi itu mendirikan rumah tangga pada 19 November tahun lalu.

Haqiem dan Sofea mula menjalin hubungan cinta sejak dua tahun lalu selepas berkenalan dan mula rapat ketika bersama-sama menguruskan perniagaan restoran milik mereka.

Berkongsi mengenai perkembangan kerjaya, Haqiem baru selesai menjalani muzik video single terbarunya yang berjudul Aku, Hati dan Perasaan.

"Saya baru selesai menjalani penggambaran muzik video di Cameron Highlands, Pahang. Single berkenaan dijangka dilancarkan dalam tahun ini juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2022 @ 3:23 PM