Haqiem Rusli dan isterinya.
Haqiem Rusli dan isterinya.
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Haqiem Rusli, 24, terkilan dengan tindakan lepas tangan pengurusan sebuah stesen minyak di Bukit Besi, Terengganu, yang menjadi punca kerosakan kereta miliknya jenis Mercedes Benz pada 17 Mac lalu sehingga dia kerugian RM50,000.

Haqiem atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli berkata, pihak stesen terbabit enggan membiayai kos baik pulih keretanya yang rosak selepas mengisi petrol yang bercampur dengan air.

"Pada 22 Mac lalu, saya pergi ke stesen minyak itu dengan tujuan untuk berbincang mengenai penyelesaian atas perkara ini. Pihak stesen itu meminta kerjasama daripada saya untuk memberikan mereka lebih masa bagi menyelesaikan masalah kereta saya.

"Beberapa hari kemudian, mereka menghubungi saya untuk meminta kebenaran memindahkan kereta saya untuk dibaiki dibengkel yang dicadangkan.

"Memandangkan bengkel dicadangkan itu tidak diiktiraf Mercedes-Benz kerana kereta saya masih dalam tempoh jaminan, maka saya tidak memberikan kebenaran kepada mereka untuk menunda kereta saya yang berada di bengkel Asbenz ke bengkel lain," katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Tergantung Sepi itu berkata, bermula dari situlah pihak stesen minyak terbabit tidak lagi menjawab panggilan dan mesejnya.

"Setakat hari ini, sudah hampir sebulan lebih, pihak stesen minyak itu menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab dengan berdiam diri dan gagal memberikan maklum balas apabila dihubungi sedangkan saya tertunggu-tunggu jawapan daripada mereka," katanya.

Haqiem kecewa atas kegagalan pihak stesen minyak itu dalam memberikan kerjasama kepada pelanggan sepertinya sedangkan kerosakan itu berpunca daripada kecuaian pihak mereka.

"Kereta rosak disebabkan kecuaian menjual minyak yang bercampur air mengakibatkan saya terpaksa menanggung kerugian besar untuk membaik pulih kereta itu.

"Saya juga amat berharap dan memohon kepada pihak kerajaan agar mengambil tindakan yang tegas membatalkan lesen kepada pengusaha minyak menipu rakyat," katanya.

Dalam pada itu, isterinya Anis Sofea atau nama sebenarnya Wan Anis Sofea Wan Zamzuri memberitahu mereka kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap stesen minyak berkenaan.

"Kami sudah buat laporan polis dan kes ini juga akan dibawa ke mahkamah dalam masa terdekat. Cuma, sekarang kami masih perlu melantik peguam untuk membuat tuntutan kepada pihak stesen minyak berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2023 @ 3:49 PM