Watie mendukung Ayash Affan bergambar hari raya bersama Shuib, ibu dan anak-anaknya.
Watie mendukung Ayash Affan bergambar hari raya bersama Shuib, ibu dan anak-anaknya.
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur:  Pelawak dan penyampai radio Suria FM, Shuib Sepahtu, 39, mengotakan janji untuk meraikan kemeriahan Aidilfitri hari ini dengan membawa bakal isterinya, Watie Hanifiah bertemu keluarga buat kali pertama.

Shuib atau nama sebenarnya, Shahmira Mohamad ketika ditemui media pada Ramadan baru-baru ini berkongsi, dia akan beraya bersama Watie sekali gus memperkenalkannya kepada ahli keluarga masing-masing.

Menerusi hantaran gambar dikongsikan di Instagram dengan kapsyen ditulis, 'Bismillah... Selamat Hari Raya Aidilfitri 2023', pasangan bakal pengantin itu tampil menggayakan busana sedondon berwarna merah jambu cair yang menggambarkan sebuah keluarga bahagia.

Dalam gambar itu, Watie juga dilihat tidak kekok mendukung anak bongsu Shuib, Ayash Affan, 2, begitu juga wajah tiga lagi cahaya matanya iaitu Uwais Alqarni, 11; Dzahira Talita Zahra, 9; dan Ariq Matin, 7, tergambar gembira.

Ibu Shuib iaitu Salamiah Jalani juga kelihatan bahagia dan gembira apabila bergambar bersama bakal menantu baharunya itu yang 'melengkapkan semula' keluarga Shuib selepas pemergian isterinya, Siti Sarah Raissuddin pada 9 Ogos 2021 lalu.

Semakan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen termasuk rakan selebriti mengucapkan tahniah kepada Shuib dan Watie serta mendoakan kebahagiaan mereka.

"Anak-anak suka tu ok lah, diorang masih memerlukan sosok seorang ibu," komen seorang netizen.

"Wuhhh rasmi...sedondon sudah. Selamat pengantin baru in advance, finally Shuib find his happiness," tulis seorang pengikutnya.

"Manisnya Watie," tulis ringkas seorang wargamaya yang turut gembira dengan perkongsian dibuat Shuib itu.

Sebelum ini, Shuib mengumumkan dia bercadang bernikah dengan wanita pilihannya, Watie juga seorang usahawan berjaya pada Jun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 April 2023 @ 8:41 PM