HANTARAN foto Shuib dan Watie bersama empat anaknya yang dikongsi di Instagram Shuib.
HANTARAN foto Shuib dan Watie bersama empat anaknya yang dikongsi di Instagram Shuib.
Norhayati Nordin


Kuala Lumpur: Usahawan yang kini tunang pelawak dan penyampai radio Suria FM, Shuib iaitu Watie Hanifiah, 35, berkongsi detik indah dilaluinya kelmarin di Instagram.

Buat kali pertama, Watie membuat hantaran foto jarinya bersarung cincin dengan kapsyen yang cukup menggambarkan rasa bersyukur dipertemukan jodoh dengan lelaki pilihan.

"Allah timing is perfect every matter. We don't always understand the wisdom behind it but we have to learn to trust it. (Allah adalah penentu masa sempurna bagi setiap perkara. Kita tidak selalu memahami hikmah di sebaliknya, tetapi kita perlu belajar mempercayainya)," tulisnya berserta dua tanda pagar #alhamdulillah dan #onestepcloser.

Pada hantaran dibuat itu, kebanyakan warga maya mengucapkan tahniah kepada Watie dan Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 39, yang bakal diijabkabul pada 23 Jun depan.

Malah, Shuib juga dilihat menulis komen ringkas, 'Assalammualaikum Tunang @iamwatie berserta emoji hati berwarna merah.

"Pemilihan cincin juga menandakan banyak batu kecil-kecil tanda dia memilih seluruh keluarga.. Semoga bahagia," tulis seorang netizen.

Sementara itu, Shuib yang ditanya rakan penyampai segmen Morning Morning Suria, Suraya Borhan berkenaan cincin pertunangan itu berkata, ia adalah pilihan Watie sendiri yang menyifatkannya 'simple' dan cantik.

"Berkenaan cincin yang berlingkar macam ulat gonggok itu, Watie yang pilih sendiri. Kami membelinya sehari sebelum majlis pertunangan dilangsungkan kelmarin.

"Saya tidak membeli apa-apa persiapan tunang di Indonesia pun. Saya ke sana baru-baru ini atas urusan perniagaan. Persiapan majlis tunang, beli di Malaysia saja," katanya.

Selain Watie, Shuib juga ada membuat perkongsian foto mereka bersama empat anaknya di Instagram yang gembira dan tersenyum riang.

"Allah pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya, "Jadilah, lalu jadilah ia," tulisnya yang memetik surah Al Baqarah, ayat 117.

"Semoga Allah mempermudahkan perjalanan kita," tulisnya lagi berserta emoji hati berwarna merah  @iamwatie dan tanda pagar iaitu #Tunang #6May2023 #ShuibFamily.

Terdahulu, pada Aidilfitri baru-baru ini, Shuib membawa Watie berhari raya bersama sekali gus bertemu dan diperkenalkan kepada keluarga masing-masing buat kali pertama.

Mereka tampil menggayakan busana sedondon berwarna 'peach' dan Watie juga dilihat tidak kekok mendukung anak bongsu Shuib, Ayash Affan, 2, berserta tiga lagi anaknya iaitu Uwais Alqarni, 11; Dzahira Talita Zahra, 9; dan Ariq Matin, 7.

Sebelum ini Shuib berkahwin dengan penyanyi Allahyarhamah Siti Sarah Raissuddin pada 26 Februari 2011. Bagaimanapun, Siti Sarah meninggal dunia pada 9 Ogos  2021 kerana dijangkiti Covid-19. 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mei 2023 @ 9:28 AM