SHUIB sah bergelar suami kepada Watie.
SHUIB sah bergelar suami kepada Watie.
Syafil Syazwan Jefri


Subang Jaya: Shuib yang kini bergelar pengantin baru mengakui dia berlatih untuk melafazkan akad nikah berikutan nama isterinya yang panjang iaitu Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah.

Shuib yang sah bergelar suami kepada Fati Nikmatul Adawiyah atau Watie berkata, ketika di awal perkenalan dengan Watie, dia sudah terfikir bagaimana ketika nak melafazkan nikah nanti.

"Saya memang berlatih sebab nama dia agak panjang. Sewaktu awal perkenalan pun, saya terfikir, macam mana kalau berkahwin dan nak lalui akad nikah.

"Nama dia agak 'tricky' di samping nama bapanya yang lain dari kebiasaan. Selalunya, kita nampak nama Hanafiah, tetapi nama bapanya Hanifiah. Jadi, lain sikit," katanya.

Dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Putra Glass House, di sini, malam tadi, pasangan itu sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz saja.

Shuib berkata, dia sangat lega apabila semuanya sudah selesai.

"Lega, rasa ringan. Sebelum itu, di sebelah petang memang saya rasa berdebar kerana risau sekiranya perkara-perkara tak diingini berlaku. Alhamdulillah, semuanya okay.

"Kawan-kawan pun hadir, makanan pun semuanya okay dan apa yang dirancang semuanya berjalan lancar walaupun beberapa kali 'blackout' (bekalan elektrik terputus)," katanya.

Dalam pada itu, Shuib dan Watie akan ke Turkiye untuk berbulan madu. Ia turut disertai anak-anak mereka.

"Insya-Allah, kami akan berbulan madu di Turkiye bersama anak-anak. Tapi, esok (hari ini), kami berdua akan ke Langkawi sekejap.

Semalam, Shuib dan Watie dinikahkan abang Watie, Muammar Qadhaffi Hanifiah dengan mas kahwin RM8,288 yang juga simbolik kepada tarikh lahir Watie iaitu 8 Februari 1988.

Sebelum ini, Shuib dan Watie mengadakan majlis khatam al-quran dan berinai pada 13 Jun lalu. Mereka mengikat tali pertunangan pada 6 Mei lalu.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan pentas daripada Anuar Zain dan Lah Ahmad serta persembahan kejutan oleh Dayang Nurfaizah.

Hari bahagia Shuib dan Watie juga turut diraikan rakan-rakan artis antaranya Fasha Sandha, Zulin Aziz, Zara Zya, Nora Danish dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2023 @ 1:15 PM