Yantzen
Yantzen

Kuala Lumpur : Penyanyi rock popular, Yantzen Juniawan, 65, mendedahkan dia menghidap penyakit misteri hingga sukar untuk tidur sejak enam bulan lalu.

Yantzen dalam kenyataan kepada sebuah portal berita berkata, penyakit misteri itu bermula sejak tahun lalu tanpa dia mengetahui puncanya sehingga membuatkan kehidupannya terganggu.

Bagaimanapun, Yantzen enggan mengulas mengenainya kerana bimbang ia disalah erti.

"Saya tak nak komen apa-apa. Kalau saya cakap pun tak guna dan kalau saya beritahu pun ceritanya akan jadi dua hala.

"Terpulang pada mereka untuk menilai. Saya takkan melatah. Saya cuma fokus dengan kehidupan saya sekarang dan bukan mereka yang beri saya makan.

"Kata-kata negatif itu biasa, begitulah mereka mudah menilai orang," katanya.

Bekas peserta Gegar Vaganza musim ketujuh itu berkata, dia juga membuat rawatan secara perubatan Islam.

Terdahulu, Yantzen sebelum ini berkata, dia sedih dengan tindakan segelintir netizen yang meninggalkan komen kurang menyenangkan serta mendakwa dia terbabit dengan perkara negatif menerusi video yang tular di Facebook, baru-baru ini.

Dalam video itu, Yantzen dilihat bercakap dalam keadaan tidak tentu arah dan seperti tidak normal.

Dia yang dihubungi Harian Metro ketika itu mengakui memang tidak sihat, namun enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Saya tidak sihat ketika itu dan cuba stabilkan keadaan itu. Namun, bukan saja (orang) bersimpati. Ada juga beri tohmahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2023 @ 3:54 PM